Pendidikan digital atasi defisit guru opsyen di luar bandar

Facebook
WhatsApp
KERJASAMA....Dr Annuar menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UTS dan Amdox Prospera Sdn Bhd, petang tadi. Turut kelihatan ialah Shahril (lima kiri), Zhang (tiga kiri).

SIBU: Pendidikan digital berpotensi menjadi pendekatan bagi mengatasi defisit guru mengikut opsyen, khususnya bagi mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di sekolah luar bandar Sarawak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, Sarawak kini mempunyai kira-kira 98 peratus daripada jumlah guru yang diperlukan, namun masih berdepan isu ketidakpadanan guru dengan pengkhususan mata pelajaran.

Menurutnya, terdapat sekolah yang mempunyai bilangan guru mencukupi tetapi masih kekurangan guru beropsyen tertentu, menyebabkan guru tanpa latihan khusus terpaksa mengajar mata pelajaran berkenaan.

“Kita hampir mencapai jumlah guru yang diperlukan. Saya fikir kita sudah mempunyai kira-kira 98 peratus sekolah yang mempunyai bilangan guru yang mencukupi.

“Namun, jika kita melihat dengan lebih mendalam, isu yang perlu diberi perhatian bukan sahaja jumlah guru, tetapi juga jumlah guru mengikut opsyen,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Amdox Prospera Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, pendidikan digital boleh dimanfaatkan bagi membolehkan guru pakar mengendalikan pengajaran secara jarak jauh kepada murid di sekolah yang tidak mempunyai guru opsyen berkenaan.

Katanya, guru yang berada secara fizikal di sekolah terbabit boleh bertindak sebagai penyelia, manakala guru beropsyen mengendalikan pengajaran menerusi sambungan internet dan teknologi pendidikan digital.

“Kita mempunyai peralatan yang sesuai untuk menyampaikan pendidikan atau pengajaran dari jarak jauh, manakala guru di sekolah berkenaan boleh bertindak sebagai penyelia.

“Guru mengikut opsyen pula boleh mengajar dari jarak jauh dengan menggunakan sambungan internet dan pendidikan digital ini,” ujarnya.

Katanya, pendekatan itu amat sesuai dilaksanakan di Sarawak mengambil kira keluasan geografi negeri serta kedudukan sekolah yang berada di kawasan sukar diakses.

Sarawak mempunyai kira-kira 1,200 sekolah rendah dan 200 sekolah menengah, dengan sesetengah sekolah mengambil masa sehingga lapan jam untuk diakses melalui jalan darat, manakala terdapat juga sekolah yang hanya boleh dicapai menggunakan pengangkutan sungai.

Dr Annuar berkata, kira-kira 50 peratus sekolah di Sarawak mempunyai kurang 10 murid, termasuk kelas yang hanya mempunyai seorang murid dan sekolah tanpa enrolmen.

“Penggabungan sekolah kecil dengan sekolah lebih besar sebagai ‘anchor school’ telah dilaksanakan, namun penutupan sekolah sukar kerana keterikatan komuniti. Keutamaan Sarawak adalah memastikan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf dunia,” ujarnya lagi.

Beliau menggesa UTS dan Amdox membangunkan kemudahan pendidikan digital bertaraf tinggi bagi memperluas pembelajaran hibrid dan dalam talian, termasuk akses pelajar kepada kepakaran institusi terkemuka dunia.

Katanya, kerjasama itu turut boleh diperluas kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain berharap Amdox mewujudkan kehadiran industri di Sibu bagi memperkukuh ekosistem pembangunan bakat bersama UTS.

Turut hadir ialah Naib Canselor UTS, Profesor Ir Mohammad Shahril Osman, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Profesor Mohd Zainal Munshid Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amdox Zhang Liang dan Pengarah Amdox Prospera Sdn Bhd Adam Ang Tong Han.

Oleh Akun Giman