SIMANGGANG, 24 Oktober: Seramai 104 warga pendidik menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman yang berlangsung di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan perkhidmatan yang ditunjukkan warga pendidik dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima yang terdiri daripada guru besar dan guru akademik sekolah rendah serta menengah di seluruh Bahagian Sri Aman.
Menurut beliau, penganjuran APC bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform rasmi untuk menghargai sumbangan dan komitmen warga pendidik yang berperanan besar dalam pembangunan modal insan negara.
“Pengiktirafan seperti ini penting bagi menyemarakkan budaya kerja cemerlang, membudayakan kecintaan terhadap ilmu serta menanam rasa bangga terhadap profesion perguruan yang amat mulia,” katanya.
Mong turut berharap para penerima akan terus menjadi pemangkin perubahan dan contoh terbaik kepada rakan sejawat dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di daerah itu.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada PPD Sri Aman bagi membantu pelaksanaan pelbagai aktiviti pendidikan sepanjang tahun.
Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin merakamkan penghargaan kepada ADUN Bukit Begunan atas kesudian menghadiri majlis berkenaan.
Beliau berkata, kehadiran Mong memperlihatkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan sektor pendidikan serta memberi penghormatan kepada seluruh warga pendidik di daerah tersebut.
Turut hadir Timbalan PPD Sri Aman, Munau Bong Sang; Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak Zon Sri Aman, Limok Shem; Pengerusi Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Daerah Sri Aman, Alfred Kendim; serta barisan pengetua, guru besar dan warga pendidik.
Oleh Adi Safarman





