MIRI: Tiga ekor buaya termasuk seekor berukuran 4.36 meter berjaya ditangkap dalam operasi di Kuala Baram di sini hari ini.
Menurut Team Eric Cat menerusi hantaran di Facebook, tiga reptilia itu masing-masing berukuran 4.36 meter, 2.83 meter dan 2.80 meter.
Operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak, dalam usaha menangani kehadiran buaya serta meningkatkan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.
“Tangkapan tiga ekor buaya dalam satu operasi itu turut menunjukkan pemantauan terhadap habitat dan pergerakan reptilia berkenaan di Kuala Baram terus dipergiat.
“Orang awam, khususnya penduduk dan mereka yang menjalankan aktiviti berhampiran sungai, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi nasihat dan arahan keselamatan pihak berkuasa,” menurut hantaran tersebut.
Tiga tangkapan dalam satu operasi, Kuala Baram terus menjadi tumpuan usaha menangani ancaman buaya.
Oleh Liong Chai Ling





