KUALA LUMPUR: Gandingan eksperimen beregu lelaki negara Soo Wooi Yik-Aaron Tai mencetuskan kejutan pada penampilan sulung mereka apabila menyingkirkan pasangan ranking ke-10 dunia dari China pada pusingan kedua China Masters di Shenzhen, hari ini.
Walaupun baru pertama kali digandingkan, pasangan negara itu menundukkan pasangan pilihan tuan rumah Chen Bo Yang-Liu Yi menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-18 dalam tempoh 40 minit untuk menempah slot ke suku akhir di Arena Shenzhen.
Dalam saingan merebut tempat ke separuh akhir esok, beregu baharu negara itu akan berdepan wakil China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.
Dalam pada itu, gandingan berpengalaman negara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong terpaksa bermandi peluh sebelum menempah tiket ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara Chia Wei Jie-Teo Ee Yi 18-21, 21-16, 21-17 dalam masa 51 minit.
Azriyn Ayub-Wee Kiong bakal menentang pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam memburu tiket separuh akhir.
Sebelum itu, beregu lelaki negara Tee Kai Wun-Yap Roy hanya mengambil masa 34 minit untuk mara ke suku akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Ali Faathir Rayhan-Devin Artha Wahyudi, 21-16, 21-19.
Menanti di suku akhir ialah gandingan Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.
Dalam acara beregu campuran, pasangan veteran negara yang juga pilihan kelapan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut melangkah ke suku akhir selepas mengharungi pertarungan sengit menentang gandingan Jepun, Akira Koga-Natsu Saito.
Bagaimanapun, pasangan negara itu kembali menemui rentak permainan untuk menoktahkan perlawanan dengan kemenangan 21-14, 19-21, 21-10.
Soon Huat-Shevon yang memiliki rekod pertemuan lebih baik dijadualkan menentang pasangan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying, bagi memburu tiket ke separuh akhir.
Sebelum itu, beregu campuran profesional negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan keenam kejohanan, yang juga wakil tuan rumah, Cheng Xing-Zhang Chi, untuk mara ke suku akhir.
Pasangan yang berada di ranking ke-85 dunia itu tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan straight set 24-22, 21-19 dalam tempoh 48 minit untuk berdepan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui, bagi merebut tiket ke separuh akhir.
Bagaimanapun, kemaraan Malaysia dalam acara perseorangan terhenti selepas pemain wanita K. Letshanaa tewas kepada pemain nombor dua dunia, Wang Zhi Yi, 10-21, 8-21.
Kekalahan itu menyaksikan Letshanaa tewas buat kali keempat berturut-turut kepada bintang China berkenaan dalam acara perseorangan wanita.
Dalam acara beregu wanita pula, pasangan nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah berdepan kejutan apabila tersingkir pada pusingan kedua selepas tewas kepada gandingan adik-beradik Thailand, Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard 16-21, 21-17, 19-21.
Nasib sama menimpa pasangan muda negara Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah selepas tewas 13-21, 16-21 kepada gandingan pilihan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.- Bernama



