LAWAS: Warisan budaya, seni kraftangan dan produk tradisional setiap kaum serta etnik di Sarawak perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang bagi memastikan khazanah berkenaan tidak terus terhakis.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, berkata pelbagai seni budaya dan kraftangan warisan masyarakat terdahulu kini semakin terhakis dan memerlukan usaha berterusan untuk dipelihara.
Menurutnya, kehilangan warisan berkenaan bukan sahaja menyebabkan masyarakat kehilangan identiti budaya, malah boleh menjejaskan kemahiran tradisional yang diwarisi secara turun-temurun, khususnya dalam kalangan masyarakat Lun Bawang.
“Yang penting sekali, kita harus mewarisi sama ada kebudayaan orang tua kita dahulu atau hasil tangan yang perlu dipelihara dan diwarisi.

“Kalau ini hilang, tiada lagi kebolehan kita, terutamanya suku Lun Bawang misalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perantisan Kepimpinan Wanita anjuran bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita dan Sarawak Craft Council di sebuah hotel di sini, hari ini.
Henry berkata selain dipelihara sebagai warisan budaya, produk kraftangan dan makanan tradisional juga berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan kepada keluarga.
Katanya, usaha berkenaan penting terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan harga barangan ketika ini.
“Banyak hasil kraftangan dan makanan kita boleh diketengahkan ke pasaran untuk menambah pendapatan keluarga, terutama ketika menghadapi masalah sekarang apabila ramai mengadu harga barang mahal.
“Jadi, kita usahakan sesuatu untuk menambah pendapatan kita,” katanya.
Menurutnya, setiap hasil seni, termasuk kraftangan dan produk makanan masyarakat asal, perlu dihasilkan mengikut piawaian yang ditetapkan bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.
Beliau berkata pensijilan halal juga penting bagi memastikan produk berkenaan mempunyai peluang lebih luas untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Katanya, pasaran produk halal mempunyai potensi besar, khususnya di negara jiran seperti Brunei yang mempunyai jaringan perniagaan antarabangsa yang luas.
“Produk seperti beras Adan, kopi mahupun garam bukit Ba’Kelalan harus memiliki pensijilan halal ini untuk menembusi pasaran lebih besar di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Oleh Adeng Edrus




