271 peserta, 14 pasukan warnai Kejohanan Xiang Qi Sarawak di Sri Aman

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Xiang Qi Peringkat Sarawak, semalam. Foto: ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Kejohanan Xiang Qi (Catur Cina) Peringkat Sarawak bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform mengasah pemikiran strategik, ketepatan membuat keputusan serta mengeratkan hubungan sosial dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, kejohanan selama tiga hari anjuran Persatuan Xiang Qi Sri Aman itu berjaya menghimpunkan 271 peserta daripada 14 pasukan yang mewakili bahagian dan daerah di seluruh Sarawak.

Menurutnya, permainan Xiang Qi memerlukan pemain memberi tumpuan penuh dalam menyusun strategi bagi menewaskan pihak lawan, selain membuat perkiraan tepat pada setiap langkah.

“Permainan ini mendorong pemain untuk berfikir secara mendalam dan membuat keputusan yang tepat, terutama apabila berdepan situasi yang memerlukan strategi tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Xiang Qi Peringkat Sarawak di sini, semalam. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulitnya, Jilin Itar.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangam Negeri (ADUN) Simanggang berkata, penganjuran kejohanan itu turut menyediakan ruang untuk golongan muda, khususnya kanak-kanak dan remaja, mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat.

Katanya, penglibatan dalam aktiviti sebegini secara tidak langsung dapat membantu menjauhkan golongan muda daripada kegiatan tidak berfaedah termasuk penyalahgunaan dadah dan perjudian dalam talian.

“Selain mengasah minda, kejohanan ini juga membuka peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama mereka walaupun datang dari bahagian dan daerah yang berbeza,” katanya.

Dalam kejohanan itu, pasukan Bahagian Samarahan dinobatkan sebagai juara keseluruhan, sekali gus membuktikan keupayaan mereka dalam permainan yang menuntut ketajaman minda dan strategi.

Sementara itu, Bahagian Sibu akan menjadi tuan rumah Kejohanan Xiang Qi Peringkat Sarawak bagi tahun 2027.

Simbolik penyerahan dan penerimaan bendera kejohanan disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Xiang Qi Sarawak, Ting Chung Yii, sebagai tanda persediaan penganjuran edisi seterusnya.

Oleh Adi Safarman