BINTULU, 25 Oktober: Pengalaman mengatasi kesukaran menguasai catwalk menjadi antara kenangan bermakna buat Tania Isabella McCabe, 19, selepas dinobatkan sebagai juara Miss Belia Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.
Tania berkata, catwalk merupakan cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang pertandingan itu kerana beliau kurang mahir dalam teknik berkenaan ketika mula-mula menyertainya.
Menurutnya, latihan berterusan selama dua bulan membantunya memperbaiki kemahiran dan meningkatkan keyakinan diri sehingga berjaya meraih gelaran juara.
“Ketika mula-mula menyertai pertandingan ini, saya agak teruk dalam catwalk dan benar-benar bergelut untuk melakukannya. Jadi, sepanjang dua bulan ini, saya banyak berlatih.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya dan dapat melihat peningkatan berbanding kemampuan saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan berkenaan.
Tania berkata, kejayaan itu tidak dijangkakannya, malah beliau berasa terharu kerana berjaya mengatasi cabaran sepanjang pertandingan.
Beliau turut menggalakkan golongan muda supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian, meskipun berdepan kekurangan sokongan daripada orang sekeliling.
“Jangan berputus asa dengan impian anda. Walaupun hanya anda sendiri yang percaya kepada diri sendiri, jangan biarkan perkara itu menghalang anda.
“Teruskan melakukan apa yang anda mahu kerana ini kehidupan anda, bukannya kehidupan orang lain,” katanya.
Mengulas perancangannya selepas memenangi gelaran itu, Tania berkata, beliau mahu menyertai lebih banyak acara dan meneruskan penglibatan dalam bidang berkenaan yang diminatinya.
Beliau turut menyifatkan persahabatan dengan finalis lain sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang pertandingan itu, sambil mengakui sedih untuk berpisah dengan mereka yang dianggap seperti keluarga sendiri.

Tania membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500 selain memenangi empat gelaran sampingan iaitu ‘Best Outfit – Opening’, ‘Best Talent Show’, ‘Miss Popular’ dan ‘Boulevard Jury Favourite’.
Tempat naib juara pertama disandang Jesseyoniaty Robert, 24, yang menerima RM2,500 serta gelaran ‘The Power of District’, manakala Phoebe Kisi, 24, menduduki tempat naib juara kedua dengan hadiah RM1,500 dan gelaran ‘Best Video’ bernilai RM500.
Veniesha Enjau Leslie Beti, 19, menduduki tempat naib juara ketiga dengan hadiah RM800, manakala Cathleen Rata Micheal, 20, berada di tempat naib juara keempat dengan hadiah RM500.
Cathleen turut memenangi gelaran ‘Best Makeup’ bernilai RM300 dan naib juara pertama pertandingan bakat dengan hadiah RM200.
Tempat naib juara kelima menjadi milik Phynterliana Agatha Lambeh Herryson, 21, yang menerima RM300 serta gelaran ‘Best Catwalk’.
Oleh Carolyne Utih





