Konsert Karnival SibuJaya 2026 ditunda

Facebook
WhatsApp
KONSET SIBUJAYA... Konsert Karnival SibuJaya 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 September ini ditunda berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk.

SIBU: Konsert Karnival SibuJaya 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 September ini ditunda berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang semakin memburuk.

Amcorp SibuJaya Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa daerah mencatatkan paras tidak sihat.

Menurut kenyataan, penangguhan berkenaan merupakan langkah proaktif bagi memastikan kesihatan dan keselamatan orang ramai, para penghibur serta kru yang terlibat sentiasa terjamin.

“Keputusan ini juga selaras dengan nasihat dan panduan kerajaan berkaitan pelaksanaan aktiviti luar ketika keadaan jerebu.

“Tarikh baharu bagi Konsert Karnival SibuJaya 2026 akan diumumkan selepas keadaan persekitaran bertambah baik dan aktiviti perhimpunan di luar bangunan selamat untuk dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Amcorp SibuJaya turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai, peniaga, penaja dan rakan kerjasama atas kefahaman serta sokongan berterusan terhadap penganjuran acara tersebut.

Orang ramai diminta mengikuti saluran media rasmi dan platform media sosial penganjur bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tarikh baharu konsert berkenaan.