Pekebun digalak manfaat CPPC Limbang untuk proses tanaman

Facebook
WhatsApp
RASMI...Dr Abdul Rahman memukul gong sebagai simbolik perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian

LIMBANG: Komuniti petani di Limbang digalak menanam limau kasturi, cili, nangka dan durian bagi membekalkan hasil pertanian untuk diproses di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Kubong, Limbang.


Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ketika ini pihak operator sedang mendapatkan peralatan pemprosesan bagi membolehkan hasil pertanian yang dihasilkan petani diproses dan seterusnya dipasarkan.


“Kita menunggu CPPC Limbang Kubong beroperasi untuk memproses produk pertanian. CPPC ini sedang menunggu mesin untuk memproses tanaman ataupun buah-buahan yang disasarkan.


“Kita minta orang Limbang menanam tanaman yang hendak diproses di CPPC tersebut seperti limau kasturi, cili, nangka dan durian,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Dewan Kampung Reda Limbang, petang semalam.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.
CPPC Limbang yang bernilai RM5 juta itu merupakan satu lagi kemudahan bagi membantu petani memasarkan hasil pertanian dan dijangka mula beroperasi tahun ini.


Daerah Limbang mempunyai pasaran yang luas, khususnya di negara jiran Brunei, bagi tanaman seperti durian serta hasil pertanian lain.


Pada majlis sama, Abdul Rahman turut menyempurnakan penyerahan mesin pelerai padi dan mesin pengisar padi bernilai RM15,050 kepada 98 keluarga tani.


Turut diserahkan mesin pengupas buah kopi dan mesin pengupas kulit biji kopi kering bernilai RM7,550 kepada 20 petani serta Bantuan Baja Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) bernilai RM72,990 kepada 53 pengusaha sawit dan lada.