KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tebedu meningkat kepada 302, sekali gus memasuki tahap berbahaya setakat 8.00 malam ini.
Berdasarkan data pemantauan kualiti udara, bacaan Tebedu meningkat daripada 293 pada 6.00 petang kepada 302, menjadikannya kawasan keempat di Sarawak merekodkan IPU melebihi 300.
IPD Serian terus mencatat bacaan tertinggi iaitu 439, diikuti Samarahan (335) dan Kuching (323), dengan ketiga-tiganya kekal pada tahap berbahaya.
Empat kawasan pula merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu Lubok Antu dengan 282, Sri Aman (278), Lundu (242) dan Sarikei (222).
Sementara itu, 10 kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Sibu dengan bacaan 198, Mukah (192), Bintulu (183), Samalaju (178), Kapit (162), Miri (162), ILP Miri (160), Limbang (152), Lawas (134) dan Bario (117).
Secara keseluruhan, empat kawasan mencatat tahap berbahaya, empat kawasan sangat tidak sihat dan 10 kawasan tidak sihat setakat 8.00 malam ini.
Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat dan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.





