SIA lanjut pembatalan penerbangan ke Dubai hingga 28 Februari 2027 susulan konflik Asia Barat

Facebook
WhatsApp
PESAWAT Airbus A350-900 ULR milik Singapore Airlines. Foto hiasan

SINGAPURA, 30 Oktober: Singapore Airlines (SIA) melanjutkan pembatalan penerbangan antara Singapura dan Dubai hingga 28 Februari 2027 susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.

Dalam makluman yang disiarkan di laman sesawangnya hari ini, syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa penerbangan SQ494 dari Singapura ke Dubai dan SQ495 dari Dubai ke Singapura akan terus dibatalkan sepanjang tempoh berkenaan.

SIA sebelum ini melanjutkan pembatalan penerbangan bagi kedua-dua laluan itu hingga 1 Disember 2026.

“Pelanggan yang terjejas akibat pembatalan penerbangan boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang belum digunakan.

“Memandangkan keadaan masih tidak menentu, penerbangan SIA yang lain juga mungkin terjejas,” menurut syarikat penerbangan itu.

SIA turut menasihatkan pelanggan supaya melayari halaman Status Penerbangan SIA bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penerbangan masing-masing. – Bernama