SIBURAN: Penubuhan rasmi Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Cawangan Siburan menjadi langkah penting dalam memperkukuh usaha memelihara, mengembangkan dan memperkasakan warisan budaya masyarakat Iban, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Majlis peluncuran yang berlangsung malam tadi itu turut menyaksikan komitmen persatuan berkenaan untuk menjadikan budaya tradisi sebagai medium menyatukan masyarakat selain membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda menghayati seni dan warisan Iban.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengurus Pusat Khidmat P.198 Puncak Borneo, Afflin Nyoweng yang mewakili Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; Timbalan Presiden SADIA, Nicholas Mujah Ason; Pengerusi SADIA Cawangan Siburan, Ericson Johnny Pising; wakil Setiausaha Majlis Daerah Siburan, Raju Laxamanan serta Ketua Akademi SADIA, Mabong Unggang.
Dalam ucapan bagi pihak Ahli Parlimen Puncak Borneo, Afflin berkata penubuhan SADIA Cawangan Siburan merupakan satu perkembangan positif dalam memperkukuh peranan persatuan sebagai wadah pembangunan sosial, kebudayaan dan perpaduan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SADIA Cawangan Siburan atas komitmen berterusan dalam mengangkat budaya dan warisan masyarakat Iban, selain memohon maaf kerana Datuk Willie tidak dapat hadir berikutan komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.
“Program seperti ini amat penting kerana bukan sahaja mengangkat budaya asal, malah menjadi platform untuk menyatukan masyarakat melalui penglibatan pelbagai lapisan komuniti.
“Kerjasama erat antara persatuan dan pertubuhan masyarakat perlu terus diperkukuhkan supaya usaha pembangunan serta pemerkasaan komuniti dapat dilaksanakan secara bersama,” katanya.

Sementara itu, Ericson berkata SADIA Cawangan Siburan membawa misi utama “ngetan enggau ngerembaika main asal”, iaitu mengekalkan dan mengembangkan seni budaya tradisi Iban agar terus hidup serta diwarisi generasi akan datang.
Katanya, pelbagai program kebudayaan akan terus dirancang bagi memberi peluang kepada masyarakat, terutama golongan muda, untuk mengenali, mempelajari dan menghayati warisan mereka.
Menurutnya, penyertaan aktif masyarakat Siburan dalam pelbagai program kebudayaan membuktikan minat serta kesungguhan komuniti berkenaan untuk mengangkat keunikan budaya Iban ke peringkat lebih luas.
Lebih membanggakan, peserta dari Siburan turut mencatat kejayaan dalam Unity Dance Challenge (UDC) baru-baru ini apabila muncul juara bagi kategori bawah dan atas 18 tahun.
“Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta amat tinggi dan kejayaan ini telah mengangkat nama Siburan. Tahniah kepada semua peserta kerana telah menunjukkan usaha dan komitmen yang membanggakan,” katanya.
Selain seni persembahan, SADIA Cawangan Siburan turut memberi perhatian kepada pemeliharaan kemahiran tradisional menerusi penganjuran kelas Gendang Pampat serta penghasilan perisai tradisional Iban.
Usaha itu dilihat penting bagi memastikan ilmu, kemahiran kraftangan dan seni tradisi Iban terus dipelajari serta tidak luput ditelan zaman.
Majlis peluncuran turut dimeriahkan dengan persembahan Gendang Pampat, Ngajat Ngelalu Temuai, Ngajat Batang Rajang, cabutan tiket bertuah dan persembahan nyanyian yang menyerlahkan kekayaan seni budaya masyarakat Iban.
Dengan penubuhan itu, SADIA Cawangan Siburan diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh identiti budaya Iban, merapatkan hubungan masyarakat dan melahirkan generasi muda yang bangga terhadap warisan sendiri.
Ia sekali gus menyemarakkan semangat ‘Segulai Sejalai’ dalam membentuk komuniti yang bersatu, harmoni dan terus maju.
Oleh Adi Safarman





