Wira dan Manja bawa tarikan Miri ke seluruh Malaysia

Facebook
WhatsApp
PROMOSI MIRI… Chiew Choon Man bersama penganjur program ‘Meneroka Malaysia Bersama Wira & Manja 2026 di Tebingan Miri.

MIRI: Kehadiran Wira dan Manja, maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), di sini bukan sekadar memeriahkan program pelancongan, malah menjadi platform memperkenalkan keunikan bandar raya ini kepada rakyat di seluruh negara.

Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, berkata penganjuran program Meneroka Malaysia Bersama Wira & Manja 2026 di Miri merupakan satu usaha penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kempen VM2026.

Menurut beliau, program anjuran Global Harmony Foundation dengan sokongan Tourism Malaysia itu merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas bagi membawa semangat VM2026 ke seluruh negara.

“Program ini bukan sahaja bertujuan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia, tetapi juga menggalakkan rakyat Malaysia meneroka keindahan, budaya, makanan dan tarikan pelancongan yang terdapat di negeri-negeri lain.

“Program ini dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Johor dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, kehadiran program berkenaan di Miri memberi peluang untuk mengetengahkan bandar raya itu sebagai antara destinasi yang wajar diterokai pelancong domestik.

Beliau berkata, antara pengisian program di Miri ialah promosi pelancongan tempatan kepada orang ramai, termasuk aktiviti di Tebingan Miri berhadapan mercu tanda ‘I Love Miri’.

“Melalui kempen yang bergerak merentasi beberapa negeri ini, kita bukan sahaja membawa Wira dan Manja kepada masyarakat Miri, tetapi pada masa sama membawa cerita dan tarikan Miri kepada rakyat di seluruh Malaysia.

“Pembangunan industri pelancongan Miri tidak boleh bergantung kepada satu pasaran sahaja. Selain menarik pelancong antarabangsa, kita perlu terus memperkukuh pelancongan domestik,” katanya.

Chiew berkata, Malaysia mempunyai lebih 30 juta penduduk dan potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong dari Semenanjung, Sabah serta kawasan lain di Sarawak untuk berkunjung ke Miri.

Menurutnya, Miri mempunyai identiti pelancongan tersendiri menerusi bandar yang moden dan selesa, kepelbagaian makanan serta budaya, selain akses kepada khazanah alam semula jadi di utara Sarawak.

“Lebih banyak promosi berskala nasional seperti ini boleh membantu meningkatkan keterlihatan Miri dan memastikan bandar raya ini semakin dikenali sebagai destinasi menarik untuk keluarga, golongan muda serta pelancong yang mencari pengalaman alam semula jadi dan kebudayaan.

“Dalam masa sama, Wira dan Manja memainkan peranan penting sebagai wajah yang lebih mesra dan mudah dikenali bagi kempen VM2026,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak program promosi seumpama itu dapat dibawa ke Miri dan kawasan utara Sarawak bagi memastikan destinasi pelancongan negeri itu mendapat tempat sewajarnya dalam peta pelancongan negara.

“Apabila Malaysia mempromosikan Melawat Malaysia 2026 kepada dunia, Miri dan Sarawak turut mendapat tempat yang sewajarnya.

“Saya mengajak rakyat Malaysia, apabila merancang percutian seterusnya, jangan hanya melihat ke luar negara. Menerokalah Malaysia kita sendiri dan datanglah menerokai Miri,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling