KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak kekal membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di IPD Serian terus merekodkan bacaan tertinggi iaitu 436 setakat 6.00 petang ini.
Berdasarkan data pemantauan kualiti udara, bacaan IPU Serian meningkat sedikit daripada 435 pada 4.00 petang, manakala Kuching turut menunjukkan peningkatan daripada 320 kepada 323 dan kekal pada tahap merbahaya.
Samarahan pula kekal mencatat bacaan 336, juga dalam kategori merbahaya.
Lima kawasan merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat iaitu Sri Aman dengan 266, Tebedu (293), Lubok Antu (280), Lundu (241) dan Sarikei (214).
Sarikei yang mula memasuki kategori sangat tidak sihat pada 4.00 petang selepas mencatat bacaan 205, terus meningkat kepada 214 setakat 6.00 petang.
Sri Aman turut menunjukkan peningkatan ketara daripada 253 kepada 266, manakala Lundu meningkat daripada 237 kepada 241 dan Lubok Antu daripada 277 kepada 280.
Sementara itu, 10 kawasan berada pada tahap tidak sihat iaitu Sibu dengan bacaan 196, Mukah (187), Kapit (162), Bintulu (182), Samalaju (175), Miri (162), ILP Miri (159), Limbang (145), Lawas (135) dan Bario (117).
Limbang merekodkan peningkatan paling ketara dalam tempoh dua jam apabila bacaan IPU meningkat daripada 124 kepada 145.
Secara keseluruhan, tiga kawasan mencatat tahap merbahaya, lima kawasan sangat tidak sihat dan 10 kawasan tidak sihat setakat 6.00 petang ini.
Bacaan IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai merbahaya, manakala bacaan antara 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat dan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.





