KUCHING: Hab Inovasi Batu Kawa berpotensi berubah menjadi kawasan pembangunan bersepadu yang menampilkan hotel dalam air, pusat beli-belah, taman terapung dan kemudahan sukan air menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata visi berkenaan selari dengan usaha membangunkan kawasan Batu Kawa sebagai lokasi yang mampu berkembang bersama aktiviti ekonomi, komuniti dan industri baharu termasuk e-Sukan.
Beliau berkata, kewujudan kawasan bekas kuari yang mempunyai struktur batuan kukuh turut dilihat berpotensi untuk menyokong pembangunan konsep hotel dalam air tanpa memerlukan kerja cerucuk seperti pembangunan biasa.
“Menjelang 2030, saya mahu Batu Kawa menjadi kawasan yang berbeza. Saya mahu ada hotel dalam air di sini.

“Ini kawasan bekas kuari, semuanya dari batuan, jadi tidak perlu cerucuk. Di luar itu nanti boleh ada pusat beli-belah, sukan air, taman terapung dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak 2 di Hab Inovasi Batu Kawa, di sini, hari ini.
Menurut Dr Sim, kawasan berkenaan turut berpotensi menempatkan pusat e-Sukan dengan konsep unik, termasuk kemudahan yang dibangunkan di atas atau berhampiran kawasan berair.
Katanya, pembangunan itu mampu menjadikan Batu Kawa sebagai antara lokasi yang mempunyai identiti tersendiri, selain membuka ruang kepada penganjuran aktiviti dan acara bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata acara PUBG Mobile dan OOhaa Sarawak yang berlangsung di 21 lokasi sebelum kemuncaknya di Batu Kawa hari ini diharapkan tidak menjadi penamat kepada usaha mengenal pasti serta membangunkan bakat e-Sukan tempatan.
Beliau berkata, penganjuran Sarawak Esports Expo 2026 turut dicadangkan untuk diadakan di lokasi sama bagi meneruskan momentum pembangunan ekosistem e-Sukan di Batu Kawa.
Katanya, pendekatan bermula di peringkat tempatan penting bagi membina keyakinan dan ketahanan bakat sebelum mereka diketengahkan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kita bermula secara tempatan, membina keyakinan dan akhirnya kita bersaing di peringkat antarabangsa sehingga orang antarabangsa datang kepada kita.
“Bukan kita yang bermula dengan pergi kepada mereka. Bayangkan jika kita terkenal, mereka akan datang mencari kita,” katanya.
Dr Sim berkata, pembangunan Batu Kawa secara keseluruhannya perlu bergerak seiring dengan usaha membina ekosistem baharu yang mampu menarik orang ramai, pemain e-Sukan serta komuniti antarabangsa ke Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkaitan termasuk TechSA, PUBG Mobile, SESA, PBB Batu Kawa dan Saberkas Batu Lintang atas usaha membawa aktiviti e-Sukan lebih dekat kepada komuniti.
Oleh Afiq Sallehi




