SERIAN: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian mencecah 420 setakat 1.00 petang hari ini, sekali gus mencatatkan tahap kualiti udara yang sangat tidak sihat ketika jerebu tebal terus menyelubungi bandar berkenaan.
Tinjauan di sekitar bandar Serian mendapati kabus jerebu kelihatan tebal sehingga menjejaskan jarak penglihatan, terutama pada jarak jauh.
Bagaimanapun, aktiviti harian penduduk masih berjalan seperti biasa, dengan pergerakan orang ramai dan kenderaan masih kelihatan di sekitar bandar.

Dalam keadaan jerebu yang semakin ketara, sebahagian penduduk dilihat mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka ketika berada di luar, manakala orang ramai juga lebih memilih untuk berada di dalam bangunan.
Keadaan itu memberikan suasana berbeza di bandar Serian hari ini apabila pemandangan bangunan, jalan raya dan kawasan sekitarnya kelihatan samar di sebalik kabus jerebu.
Bacaan IPU (420) di Serian merupakan yang tertinggi setakat jam 1 petang, diikuti Samarahan (337), Kuching (308), Sri Aman (235) dan Sarikei (198). Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Keadaan kualiti udara itu sekali gus menunjukkan jerebu masih memberi kesan ketara terhadap beberapa kawasan di Sarawak, dengan orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi kesihatan.
Oleh Afiq Sallehi





