Kumpulan BBQ juara Beregu Campuran Pickleball Pesta Meradong 2026

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab dan ADUN Meradong, Datuk Ding Koung Hiing bergambar bersama para pemenang. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Kumpulan BBQ muncul juara pertandingan Beregu Campuran Pickleball sempena Pesta Meradong 2026 selepas mempamerkan aksi terbaik dalam pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.

Pertandingan anjuran Kelab Pickleball Meradong menjadi antara pengisian sukan sempena pesta tersebut, sekali gus memberi ruang kepada peminat pickleball untuk menguji kemampuan dan meningkatkan kemahiran dalam suasana kompetitif.

Kumpulan Wharf Raiders menduduki tempat kedua, manakala Rybee Smash meraih tempat ketiga dan Lemon Kosong Peng menamatkan saingan di tempat keempat.

Penganjuran pertandingan ini pada semalam turut mencerminkan perkembangan sukan pickleball dalam komuniti setempat dengan penyertaan pemain dalam acara beregu campuran.

DATO Ir Yusuf Abd Wahab dan Datuk Ding Koung Hiing menyerahkan hadiah kepada pemenang.

Selain mengejar kemenangan, pertandingan tersebut menyediakan platform kepada pemain untuk mengembangkan bakat, menimba pengalaman pertandingan dan memperkukuh kemahiran menerusi persaingan antara pasukan.

Pada masa sama, aktiviti sukan sempena Pesta Meradong 2026 dapat menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup aktif dan sihat, di samping mewujudkan interaksi serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti.

Pertandingan tersebut turut mendapat sokongan penaja dan pelbagai pihak yang bersama-sama membantu memastikan perjalanan acara dapat dilaksanakan dengan lancar.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turut hadir dan menyampaikan hadiah untuk pertandingan tersebut.

Turut hadir, AO Ting Kai Siang selaku wakil Pegawai Daerah Meradong; Pengerusi Kelab Pickleball Meradong, Ley Chee Hua; serta wakil penaja Chop Lung Kai Sdn Bhd, Cr. Timothy Lim Teng dan Edmund Lau yang mewakili Chery.

Oleh Earl Anek