Wanita hamil, pesakit jantung antara 38 warga Indonesia dipindahkan ke negara asal

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 38 OYD warga Indonesia diserahkan kepada pihak Perwakilan Indonesia menerusi Kepala Konsuler KJRI Kuching, Musa Derek Sairwona.

SERIAN, 22 Oktober: Seorang wanita hamil dan seorang pesakit jantung antara 38 Orang Yang Dipindahkan (OYD) warga Indonesia yang dipindahkan Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, semalam.

Pemindahan menerusi jalan darat dari Depot Imigresen Semuja itu turut melibatkan seorang pesakit dari Hospital Serian yang memerlukan perhatian kesihatan khusus.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi berkenaan melibatkan 21 lelaki dan 14 perempuan, termasuk tiga individu yang memerlukan perhatian kesihatan khusus, iaitu seorang pesakit dari Hospital Serian, seorang pesakit jantung yang mempunyai masalah kesihatan serta seorang wanita hamil.

ANGGOTA JIM Sarawak memastikan aspek keselamatan dan kebajikan OYD, termasuk individu yang mempunyai keperluan kesihatan khusus, sepanjang operasi pemindahan.

Operasi itu diketuai Komandan Depot Imigresen Semuja dengan kekuatan enam pegawai dan anggota pengiring.

Pergerakan OYD menggunakan kenderaan jabatan serta sebuah bas sewaan, selain mendapat bantuan iringan sebuah kereta Polis Peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serian bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Aspek keselamatan dan kebajikan OYD, khususnya mereka yang mempunyai keperluan kesihatan, diberikan perhatian sepanjang pelaksanaan operasi berkenaan.

OPERASI pemindahan 38 OYD warga Indonesia dilaksanakan menerusi jalan darat dengan menggunakan kenderaan jabatan dan sebuah bas sewaan.

Kesemua 38 OYD kemudian diserahkan kepada pihak Perwakilan Indonesia menerusi Kepala Konsuler Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching, Musa Derek Sairwona.

JIM Sarawak memaklumkan keseluruhan proses pemindahan dan penyerahan itu dilaksanakan dengan baik, selamat serta terkawal.

Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan dan pengurusan imigresen secara profesional, berintegriti serta berpandukan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Oleh Afiq Sallehi

Bomba tangkap ular sawa dalam reban ayam

BINTANGOR, 24 Oktober: Kehadiran seekor ular sawa di dalam reban ayam di Jalan Muhibah mencetuskan kebimbangan penghuni pada malam kelmarin.