KUCHING: Petinju profesional negara, Daeloniel Mcdelon atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy, tampil menyuarakan pandangan berhubung pemilihan kepimpinan baharu Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA).
Beliau menegaskan, barisan kepimpinan yang dipilih seharusnya terdiri daripada individu yang benar-benar memahami sukan tinju serta mempunyai minat dan kecintaan mendalam terhadap pembangunan sukan berkenaan.
Menurutnya, kepimpinan persatuan tidak sepatutnya dipilih sekadar untuk mengisi jawatan atau mendapatkan nama, sebaliknya perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan semangat untuk memajukan sukan tinju.
“Sebaiknya pilih yang betul-betul tahu dengan sukan tinju, yang ada jiwa sukan. Kalau setakat nak ambil nama kat situ, bagusss tak payah.
“Bagi orang yang betul-betul passion dalam sukan ini,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook rasminya, hari ini.
Kilat Boy berkata, proses pemilihan kepimpinan baharu perlu dilakukan secara teliti menerusi perbincangan dan mesyuarat yang sewajarnya bagi memastikan individu terbaik dipilih menerajui SABA.
Beliau turut meminta supaya keputusan berkaitan masa depan persatuan tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pandangan serta kepentingan komuniti tinju.
“Please buat mesyuarat betul-betul dan ‘pilih’ (select) orang yang terbaik menerajui persatuan dan bukan main pilih-pilih terus macam ini,” ujarnya.
Menurut Kilat Boy, pandangannya itu bukan didorong oleh kepentingan kewangan atau kepentingan peribadi, sebaliknya kerana beliau mengambil berat terhadap hala tuju sukan tinju di Sarawak.
“Saya di sini untuk bercakap benar mengenai perkara ini. Ini bukan soal wang, tetapi mengenai masa depan sukan ini. Saya sendiri amat menyayangi sukan ini!” tegasnya.
Sebagai seorang petinju profesional Sarawak, beliau berkata kecintaan terhadap sukan itu menjadi sebab utama beliau berani menyuarakan pandangan secara terbuka.
Kilat Boy turut mengakui pandangannya mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak, namun beliau memilih untuk menyampaikan apa yang dianggapnya sebagai pandangan ikhlas demi kepentingan sukan.
“Tak kisahlah orang suka atau tidak suka. Inilah hakikatnya!” katanya.
Beliau menyifatkan pandangan tersebut sebagai pesanan ikhlas daripada dirinya sebagai petinju profesional Sarawak yang mahu melihat sukan tinju terus berkembang.
Katanya, individu yang menerajui SABA perlu mempunyai komitmen dan kesungguhan untuk bekerja demi atlet, jurulatih serta pembangunan sukan tinju secara keseluruhannya.
Beliau berharap pemilihan kepimpinan baharu dapat mengambil kira kepakaran, pengalaman dan kecintaan calon terhadap sukan tinju, selain kemampuan mereka membawa persatuan ke arah lebih baik.
Kilat Boy menegaskan, masa depan sukan tinju perlu menjadi keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat oleh persatuan.
Beliau sekali lagi menyeru agar proses pemilihan dilakukan dengan sebaik-baiknya supaya kepimpinan yang terpilih benar-benar mampu membawa suara dan aspirasi komuniti tinju Sarawak.
Oleh Adi Safarman





