Program PAKK Yahos School of Skills Miri cemerlang, raih empat bintang

Facebook
WhatsApp
YAHOS School of Skills Miri berjaya meraih penarafan empat bintang menerusi Penarafan TVET Malaysia 2026, baru-baru ini. Foto: Yahos School of Skills

KUCHING: Program Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) Yahos School of Skills Miri terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) apabila berjaya meraih penarafan empat bintang menerusi Penarafan TVET Malaysia 2026.

Pencapaian itu meletakkan program berkenaan dalam kategori ‘Berdaya Saing’, sekali gus memperlihatkan komitmen institusi berkenaan dalam memastikan latihan kemahiran yang ditawarkan kekal berkualiti, relevan dan memenuhi keperluan industri semasa.

Menurut Yahos School of Skills Miri, pengiktirafan itu merupakan pencapaian bermakna kepada seluruh warga institusi, selain membuktikan usaha berterusan dalam memperkukuh mutu penyampaian latihan TVET.

Pengarah Urusan Yahos School of Skills, Natasha Nasa Douglas Uggah, berkata kejayaan berkenaan menjadi bukti komitmen pihaknya dalam memastikan setiap program latihan dilaksanakan pada tahap kualiti tinggi serta memberikan nilai tambah kepada pelatih.

“Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada Yahos School of Skills Miri dan menjadi bukti kepada komitmen berterusan kami dalam memastikan setiap program latihan yang ditawarkan dilaksanakan dengan standard yang tinggi, berkualiti serta memenuhi keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penarafan tersebut bukan sekadar menggambarkan prestasi program PAKK, malah hasil kerjasama dan dedikasi seluruh warga Yahos School of Skills termasuk pihak pengurusan, tenaga pengajar, kakitangan serta pelatih.

“Penarafan ini memberikan motivasi kepada kami untuk terus memperkukuh kualiti penyampaian latihan, memperkasa tenaga pengajar serta memastikan pelatih menerima pendidikan dan kemahiran yang relevan, praktikal serta mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.

Pencapaian di Miri itu turut melengkapkan kejayaan Yahos School of Skills Kuching yang menerima pengiktirafan sama menerusi Penarafan TVET Malaysia pada Februari lalu.

Dalam penilaian berkenaan, dua program Seni Kulinari di Yahos School of Skills Kuching masing-masing memperoleh lima bintang, manakala lapan program lain melibatkan bidang PAKK, Teknologi Maklumat (IT), Perakaunan serta Bakeri dan Pastri menerima empat bintang.

Natasha berkata kejayaan kedua-dua cawangan berkenaan membuktikan kesungguhan Yahos School of Skills dalam memperkukuh mutu latihan TVET serta meningkatkan daya saing program yang ditawarkan.

“Pencapaian di Miri dan Kuching ini adalah hasil kerja keras serta dedikasi seluruh warga Yahos School of Skills.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak, khususnya tenaga pengajar, kakitangan, pelatih serta rakan industri,” katanya.

Beliau berkata, Yahos School of Skills akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti latihan, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta pengukuhan kerjasama strategik dengan pihak industri.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan program yang ditawarkan sentiasa selari dengan perkembangan semasa dan keperluan pasaran pekerjaan.

“Pengiktirafan ini bukanlah titik akhir, sebaliknya menjadi pemangkin untuk kami terus berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi dalam bidang TVET serta melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.

Oleh Adi Safarman