KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak semakin kritikal apabila empat kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 setakat 2.00 petang ini, berbanding hanya tiga kawasan pada pagi tadi.
Berdasarkan bacaan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 233, diikuti Lundu (230), Sri Aman (227) dan IPD Serian (221), yang kesemuanya berada pada status sangat tidak sihat.
Keadaan itu menunjukkan kualiti udara terus merosot apabila jumlah kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 meningkat daripada dua kawasan pada 8.00 pagi kepada empat kawasan setakat 2.00 petang.
Tebedu pula menghampiri paras 200 dengan bacaan 199, manakala Sarikei merekodkan 194 dan masing-masing berada pada status tidak sihat.
Kuching merekodkan bacaan 177, Samarahan (179), Mukah (170), Sibu (165), Kapit (155), Bintulu (155) dan Samalaju (117), yang turut berada pada status tidak sihat.
Sementara itu, Miri (72), ILP Miri (71), Limbang (53), Lawas (59) dan Bario (69) masih merekodkan status sederhana.
Oleh Masrin Affirah



