Masjid Al-Falah siap dinaik taraf, jemaah kini lebih selesa

Facebook
WhatsApp
WONG Soon Mee, selaku wakil Dato' Sri Huang Tiong Sii, menyaksikan penyerahan dokumen siap kerja menaik taraf Masjid Al-Falah. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei.

BINTANGOR: Kemudahan Masjid Al-Falah, Sungai Gemuan kini lebih selesa dan kondusif selepas kerja menaik taraf melibatkan beberapa komponen utama di bawah Projek Masjid dan Surau siap dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha menaik taraf rumah ibadat merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam memastikan masyarakat setempat menikmati kemudahan yang baik, selamat dan selesa.

Beliau berkata, kemudahan rumah ibadat yang sempurna bukan sahaja penting untuk kegunaan harian jemaah, malah menjadi tempat masyarakat berkumpul, menjalankan aktiviti keagamaan serta mengeratkan hubungan dalam komuniti.

“Penyediaan dan penambahbaikan kemudahan rumah ibadat akan terus diberi perhatian kerana ia memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan penduduk dan memberikan keselesaan kepada jemaah,” katanya ketika dihubungi media.

Kerja menaik taraf Masjid Al-Falah merangkumi pembinaan pagar baharu, pemasangan pintu baharu, kipas siling dan karpet lantai masjid.

Projek tersebut telah disahkan siap menerusi lawatan pengesahan siap kerja yang diadakan baru-baru ini bagi memastikan semua penambahbaikan yang dirancang telah dilaksanakan.

Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Masjid Al-Falah, pegawai teknikal serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan baik.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kemudahan awam di kawasan Parlimen Sarikei akan terus dilaksanakan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Penambahbaikan berkenaan diharap dapat menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada jemaah, selain menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti di Masjid Al-Falah untuk manfaat komuniti Sungai Gemuan dan kawasan sekitarnya.

Lawatan pengesahan siap kerja itu turut dihadiri Pengerusi Masjid Al-Falah, Ahmad Amir dan pegawai Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Nina Azirina, manakala Huang diwakili Wong Soon Mee.

Oleh Earl Anek