BINTANGOR: Sebahagian laluan trafik di perairan Batang Rajang akan ditutup sementara pada tarikh tertentu bagi memberi laluan kepada Pertandingan Memancing 2026 dan Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11 sempena Pesta Meradong 2026.
Menurut dua notis Riverine yang dikeluarkan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), penutupan pertama melibatkan zon pertandingan memancing sepanjang kira-kira satu kilometer pada 30 Ogos 2026, dari 7.00 pagi hingga 1.00 petang.
Penutupan tersebut dilaksanakan bagi membolehkan Pertandingan Memancing 2026 sempena Pesta Meradong 2026 berlangsung di perairan Batang Rajang.
Sementara itu, satu lagi penutupan akan dilaksanakan sempena Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11 yang turut menjadi antara pengisian Pesta Meradong 2026.
Bagi acara tersebut, sebahagian laluan trafik di perairan Batang Rajang melibatkan jarak perlumbaan kira-kira satu kilometer akan ditutup sementara selama tiga hari, iaitu 4 hingga 6 September 2026.

Penutupan berkuat kuasa setiap hari sepanjang tempoh berkenaan dari 7.00 pagi hingga 6.00 petang bagi memastikan laluan perlumbaan dapat digunakan dengan selamat sepanjang acara berlangsung.
Sehubungan dengan itu, semua juragan kapal dan bot serta pengguna sungai dinasihatkan supaya memperlahankan kelajuan dan belayar dengan berhati-hati apabila menghampiri kawasan terlibat.
Masyarakat perkapalan, pengguna sungai dan orang awam juga diminta memberikan kerjasama dan mematuhi arahan petugas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang kedua-dua acara berlangsung.
Notis bagi Pertandingan Memancing 2026 dikeluarkan dengan nombor rujukan LSS/HQ/RIV/76/2026, manakala notis Perlumbaan Bot Laju Bintangor 2026 Edisi Ke-11 menggunakan nombor rujukan LSS/HQ/RIV/77/2026, masing-masing di bawah Peraturan Sungai-Sungai Sarawak (Trafik) 1993.
LSS turut memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul susulan penutupan sementara laluan trafik sungai tersebut.
Oleh Earl Anek





