Bekalan elektrik Sarawak kekal stabil meskipun cuaca kering berpanjangan

Facebook
WhatsApp
BEKALAN elektrik di Sarawak kekal stabil, mencukupi meskipun negeri ini berdepan cuaca panas dan kering berpanjangan yang menjejaskan aliran masuk ke beberapa empangan hidroelektrik utama. Foto Sarawak Energy

KUCHING: Bekalan elektrik di Sarawak kekal stabil dan mencukupi meskipun negeri ini berdepan cuaca panas dan kering berpanjangan yang menjejaskan aliran masuk ke beberapa empangan hidroelektrik utama.

Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) berkata, keadaan itu dapat diurus menerusi sistem penjanaan elektrik negeri yang dipelbagaikan, membolehkan penggunaan tenaga hidro dan terma diselaraskan mengikut keadaan semasa.

Menurut kenyataan media Sarawak Energy, pengurangan hujan di kawasan tadahan sejak April 2025 menyebabkan aliran masuk ke takungan di tiga loji hidroelektrik (HEP), iaitu Bakun, Murum dan Batang Ai, berada pada paras lebih rendah.

Bagaimanapun, keadaan berkenaan tidak menjejaskan kebolehpercayaan bekalan elektrik kerana penjanaan tenaga boleh dilaraskan bagi mengurangkan tekanan terhadap paras takungan.

Ketika keadaan hidrologi normal, tenaga hidro menyumbang kira-kira 65 peratus daripada bekalan elektrik kepada grid Sarawak, manakala penjanaan terma menyumbang sekitar 34 peratus dan sumber lain kira-kira satu peratus.

Dalam tempoh kering berpanjangan, pengeluaran tenaga hidro boleh dikurangkan bagi memelihara paras air di empangan, dengan penjanaan terma ditingkatkan mengikut keperluan bagi memastikan bekalan elektrik terus mencukupi.

Sarawak Energy berkata, pihaknya kini memantau secara berterusan keadaan hidrologi dan paras takungan di Bakun, Murum serta Batang Ai bagi membolehkan tindakan operasi diambil berdasarkan perkembangan semasa.

Pemantauan itu turut diselaraskan bersama Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Dalam usaha meningkatkan hujan di kawasan kritikal, kerajaan Sarawak turut melaksanakan dua operasi pembenihan awan pada Mei dan Jun lalu di bawah penyelarasan SDMC.

Satu lagi siri operasi pembenihan awan dijadualkan secara tentatif dari 3 hingga 5 September ini, khususnya bagi menggalakkan hujan di kawasan empangan utama dan kawasan tadahan air.

Sementara itu, pengguna turut  dinasihatkan supaya mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh cuaca panas, terutama dalam penggunaan penghawa dingin dan peralatan penyejukan.

Sarawak Energy menyarankan pengguna mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta mengelakkan penggunaan beberapa peralatan berkuasa tinggi secara serentak.

Pengguna yang mempunyai meter pintar pula boleh menggunakan ciri Energy Insights menerusi aplikasi mudah alih dan portal SEB cares untuk memantau corak penggunaan elektrik mengikut jam, hari dan bulan.

Antara langkah penjimatan yang disarankan termasuk menetapkan suhu penghawa dingin sekitar 24 darjah Celsius, menggunakan kipas siling bagi membantu pengaliran udara, menutup langsir atau bidai ketika cuaca panas serta menggunakan lampu LED dan peralatan elektrik cekap tenaga.

Sarawak Energy berkata, pihaknya bersama kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan akan terus mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil, di samping memelihara paras takungan sepanjang tempoh cuaca kering berpanjangan.

Oleh Afiq Salleh