KUCHING: Hujan dan ribut petir yang melanda beberapa kawasan di Sarawak sejak 26 Ogos lalu belum mampu meredakan keadaan jerebu apabila kualiti udara negeri ini semakin merosot dengan tiga kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat pagi ini.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Sarawak mengalami ribut petir di beberapa kawasan pedalaman pada 27 Ogos, dengan hujan di beberapa kawasan pada sebelah malam, manakala keadaan semalam turut diramalkan berlaku ribut petir di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, keadaan cuaca tersebut tidak menghalang peningkatan bacaan IPU apabila Lubok Antu merekodkan bacaan tertinggi 225, diikuti Sri Aman (222) dan Lundu (203), kesemuanya berada pada kategori sangat tidak sihat setakat 8.00 pagi hari ini.
Berdasarkan data IPU Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), turut mencatat bacaan tidak sihat ialah Serian dengan 193, Sarikei (188), Kuching (169), Samarahan (168), Tebedu (162), Sibu (160) dan Bintulu (151).
Sementara itu, Mukah merekodkan IPU 99, Kapit (86), Samalaju (93), Miri (68), ILP Miri (70), Limbang (55), Lawas (67) dan Bario (64), yang masih berada pada tahap sederhana.
Bacaan IPU antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat, yang boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi serta mengurangkan toleransi terhadap aktiviti fizikal, selain menjejaskan kesihatan awam.
Oleh Masrin Affirah




