LUBOK ANTU: Sebanyak 30 sekolah membabitkan 4,035 murid di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu ditutup sementara susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa serta-merta esok, berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan setakat 8.00 malam ini.
Penutupan berkenaan melibatkan 28 sekolah rendah dengan 2,242 murid serta dua sekolah menengah membabitkan 1,793 murid.
JPN Sarawak berkata langkah itu diambil bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca panas dan pencemaran udara.
Menurut kenyataan itu, cuaca panas yang melanda negara turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.
“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.
Institusi pendidikan turut dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dengan merujuk portal rasmi Jabatan Alam Sekitar menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) bagi memantau tahap IPU di kawasan masing-masing.
JPN Sarawak juga mengingatkan institusi pendidikan supaya mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan murid serta warga institusi pendidikan terus terpelihara.
“JPN Sarawak mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu.
Oleh Adi Safarman





