Indonesia bertungkus-lumus padam kebakaran hutan, titik panas di Kalimantan meningkat

Facebook
WhatsApp
ASAP TEBAL... Asap akibat kebakaran hutan dan tanah menyelubungi bandar Pontianak, Kalimantan Barat seperti dilihat menerusi foto udara hari ini. Foto AFP

JAKARTA: Indonesia terus bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah keutamaan di Sumatera dan Kalimantan ketika jumlah titik panas melonjak di beberapa kawasan di Kalimantan, didahului Kalimantan Tengah yang mencatatkan peningkatan 1,837 titik panas dalam tempoh sehari kepada 3,947.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata pemantauan terkini pada Khamis turut menunjukkan jumlah titik panas di Kalimantan Selatan meningkat sebanyak 262 kepada 1,079, manakala di Kalimantan Barat meningkat sebanyak 215 kepada 2,825.

“Di Kalimantan Barat, jarak penglihatan dilaporkan kurang satu kilometer, manakala di Kalimantan Tengah jarak penglihatan adalah empat kilometer dan di Kalimantan Selatan melebihi tujuh kilometer,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Khamis.

Ketika jumlah titik panas meningkat di tiga wilayah di Kalimantan itu, Berton berkata pemantauan terkini menunjukkan trend sebaliknya di tiga wilayah keutamaan di Sumatera.

“Di Sumatera Selatan, jumlah titik panas berkurangan sebanyak 263 menjadikan jumlah yang dikesan 1,175. Di Riau, jumlah titik panas turut berkurangan sebanyak 157 kepada hanya 68. Di Jambi, jumlah titik panas juga menurun kepada 42, iaitu berkurangan sebanyak 92,” katanya.

Dalam keadaan trend yang berbeza itu, Berton berkata usaha memadam kebakaran diteruskan menerusi operasi darat dan udara, dengan petugas menjalankan aktiviti pemantauan, pemadaman serta kerja-kerja penyejukan di kawasan keutamaan yang masih mempunyai titik panas.

Beliau berkata setakat Rabu, sebanyak 52 pesawat masih dikerahkan bagi operasi udara, terdiri daripada 14 pesawat untuk rondaan dan operasi modifikasi cuaca (OMC) serta 38 untuk operasi pemadaman menggunakan kaedah water-bombing, dengan dua daripada pesawat itu ditempatkan sementara di Lampung dan Jawa Timur susulan kebakaran hutan dan tanah di kawasan berkenaan.

“Kami berharap setiap titik panas di Sumatera dan Kalimantan akan berkurangan dengan ketara malah kembali kepada keadaan normal,” katanya sambil menambah kira-kira 4.1 juta liter air telah digugurkan menerusi operasi pemadaman menggunakan kaedah water-bombing setakat 4.00 petang Rabu.

Sementara itu, data BNPB menunjukkan anggaran keluasan kawasan terbakar di enam wilayah keutamaan itu berjumlah kira-kira 75,235 hektar, dengan Kalimantan Barat mencatatkan keluasan terbesar iaitu 38,311 hektar, diikuti Riau 16,465 hektar dan Kalimantan Selatan 9,943 hektar.

Kalimantan Tengah merekodkan anggaran keluasan kawasan terbakar sebanyak 7,634 hektar, manakala Sumatera Selatan dan Jambi masing-masing 1,926 hektar dan 954 hektar. – Bernama