SIBU: Kebakaran tidak terkawal berlaku ketika upacara pembakaran kertas sembahyang sempena Perayaan Hantu Lapar di Bulatan Dr Wong Soon Kai, bertentangan dengan sebuah pusat perubatan pakar di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku apabila api yang digunakan dalam upacara berkenaan tiba-tiba marak, menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dipanggil untuk mengawal serta memadamkan kebakaran.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh, berkata keadaan cuaca panas dan kering ketika ini meningkatkan risiko berlakunya kebakaran, terutama ketika aktiviti pembakaran dijalankan di kawasan awam.
Beliau menegaskan bahawa orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan aktiviti pembakaran dilakukan dalam keadaan terkawal bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba atas tindakan pantas mereka mengawal dan memadamkan api daripada terus merebak,” katanya menerusi hantaran video di akaun Facebook rasminya, hari ini.
Sehubungan itu, Ting menasihati mereka yang menjalankan upacara berkenaan supaya mengambil langkah pencegahan awal, termasuk memastikan alat pemadam api disediakan dan diletakkan berhampiran sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan risiko kebakaran ketika melakukan aktiviti pembakaran, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Oleh Akun Giman



