Kekurangan air, angin kencang jejas operasi pemadaman kebakaran tanah gambut Jalan Bungin-Seremban

Facebook
WhatsApp
KELUASAN kawasan baharu yang terbakar dilaporkan bertambah sebanyak dua hektar berikutan cuaca kering serta tiupan angin kencang. Foto APM Spaoh

SPAOH: Operasi memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Bungin-Serembang di sini berdepan cabaran apabila sumber air di lokasi kejadian semakin berkurangan, selain keadaan tanah yang kering dan tiupan angin kencang.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) terus bertungkus-lumus mengawal dan memadam kebakaran berkenaan.

Menurut kenyataan media APM Daerah Spaoh, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan air yang mencukupi berikutan faktor jarak serta keadaan tanah gambut yang kering.

Bagi mengatasi masalah itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong mengambil inisiatif menggunakan kaedah takungan air dengan memanfaatkan sumber air daripada jentera Bomba dan Penyelamat (FRT).

ANGGOTA penyelamat bertungkus-lumus memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Bungin-Serembang, Spaoh. Foto APM Spaoh

Kaedah berkenaan digunakan bagi membantu proses pemadaman dan kawalan api dalam lingkungan 300 hingga 400 meter dari lokasi takungan.

Pada masa sama, tiga jengkaut turut dikerahkan untuk membuat benteng pemisah api (fire break) serta menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi mengekang api daripada merebak ke kawasan yang lebih luas.

Keluasan kawasan yang terbakar turut bertambah sebanyak dua hektar berikutan cuaca kering dan tiupan angin kencang.

Setakat petang semalam, kira-kira lapan hektar kawasan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya, manakala keseluruhan kawasan yang terbakar dianggarkan mencapai 40 hektar.

OPERASI memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Bungin-Serembang berdepan cabaran apabila sumber air di lokasi kejadian semakin berkurangan, selain keadaan tanah yang kering dan tiupan angin kencang. Foto APM Spaoh

Operasi pemadaman ditangguhkan pada 6.00 petang dan akan disambung semula hari ini bagi meneruskan usaha mengawal serta memadam kebakaran.

Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi talian APM Daerah Spaoh di 083-473006 atau talian kecemasan 999 sekiranya berlaku kecemasan.

Oleh Adi Safarman