LUNDU: Kebakaran hutan di Hutan Simpan Samunsam, seluas kira-kira dua hektar berjaya dipadam sepenuhnya selepas operasi pemadaman berlangsung selama lima hari.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2.40 petang, 20 Ogos lalu.
“Berdasarkan pemantauan dron milik Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), kebakaran dianggarkan melibatkan kawasan seluas dua hektar.

“Operasi hari kelima bermula 8.35 pagi apabila pasukan bergerak ke lokasi sebelum tiba pada 9.20 pagi untuk taklimat dan membuat persediaan peralatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan pam kebakaran hutan, satu aliran hos sepanjang 500 kaki serta satu nozel dengan sumber air terbuka dari sungai berhampiran.
“Operasi pemadaman selesai pada 3.48 petang sebelum anggota menjalankan kerja-kerja mengemas peralatan dan barang operasi,” katanya.

Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.09 petang dan semua jentera serta anggota bertolak pulang ke balai.
Katanya, keseluruhan kawasan seluas dua hektar berjaya dipadam dan tiada lagi kawasan yang masih terbakar. “Operasi turut berdepan cabaran apabila lokasi kebakaran terletak kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar selain berada di kawasan berbukit,” katanya.





