Protes diterima, Nur Aleesya tebus kekalahan untuk raih emas silambam

Facebook
WhatsApp
NUR Aleesya Zahirah Sali menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara akhir Poruthal Individu Wanita 60 - 70 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya, Serdang Jaya hari ini. Foto Bernama

SERDANG: Peluang kedua dimanfaatkan sebaiknya oleh atlet silambam Sarawak, Nur Aleesya Zahierah Sali apabila bangkit menewaskan wakil Pulau Pinang dalam perlawanan semula untuk merangkul pingat emas acara Poruthal Individu Wanita 60 hingga 70 kilogram pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas protes rasmi yang dikemukakan pengurusan kontinjen Sarawak diterima jawatankuasa teknikal kejohanan, sekali gus membuka ruang buat Nur Aleesya kembali ke gelanggang bagi menentukan pemenang sebenar acara berkenaan.

Dalam perlawanan akhir pertama, Nur Aleesya pada awalnya terpaksa menerima keputusan yang memihak kepada lawannya, Dharnisha Balaguru, selepas tewas tipis 31-33.

Namun, keputusan tersebut berubah selepas protes Sarawak diterima dan kedua-dua atlet diarahkan mengharungi perlawanan semula.

Nur Aleesya tampil lebih tenang dalam aksi kedua dan berjaya mengawal rentak pertarungan sebelum menewaskan Dharnisha 12-9.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Nur Aleesya menebus kekalahan dalam perlawanan pertama untuk membawa pulang pingat emas, manakala Dharnisha terpaksa berpuas hati dengan perak.

Aksi berkenaan berlangsung di Stadium MBSJ Serdang Jaya, dengan Nur Aleesya menunjukkan ketenangan ketika berdepan situasi penuh tekanan selepas keputusan awal memihak kepada lawannya.

Kejayaan itu turut menyaksikan Sarawak menambah satu lagi pingat emas menerusi silambam selepas Nur Aleesya berjaya memanfaatkan peluang kedua yang diberikan susulan penerimaan protes berkenaan.

Oleh Shahrul Qaizat