Wanita rugi RM317,000 diperdaya sindiket bomoh

Facebook
WhatsApp
WARGA emas di Sibu rugi RM317,000 akibat penipuan rawatan tradisional. Foto Janaan AI

SIBU: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 70an kerugian RM317,000 selepas diperdaya dua wanita yang menawarkan rawatan tradisional dan upacara perlindungan dalam kejadian di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 23 Ogos lalu dan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kejadian bermula pada 19 Julai lalu apabila mangsa yang merupakan suri rumah didatangi seorang wanita tidak dikenali di kawasan Pasar Sibu.

“Berdasarkan loghat percakapannya, wanita berkenaan disyaki warga China sebelum bertanyakan lokasi kedai ubat tradisional Cina bagi mendapatkan ubat untuk ibu mertuanya.

“Kemudian, seorang lagi wanita dengan loghat yang sama menghampiri mangsa dan menawarkan untuk membawa mereka ke sebuah kedai yang didakwa milik saudaranya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abang Zainal berkata, mangsa kemudiannya dibawa menaiki sebuah kenderaan sebelum salah seorang suspek mendakwa mampu membaca wajahnya dan memberitahu anak mangsa akan mengalami kemalangan jalan raya serius pada hari berkenaan.

Katanya, suspek kemudian menawarkan satu bentuk upacara perlindungan dan meminta mangsa menyerahkan wang tunai serta barang kemas miliknya bagi tujuan tersebut.

“Disebabkan ketakutan dan bimbang akan keselamatan anaknya, mangsa mempercayai kata-kata suspek sebelum menyerahkan barang kemas serta wang tunai, menyebabkan keseluruhan kerugian dianggarkan RM317,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali yang menawarkan rawatan tradisional, ritual atau upacara membuang sial, terutama yang meminta wang tunai atau barang kemas.

“Jangan mudah terpedaya dengan ugutan atau janji yang boleh menimbulkan rasa takut dan kebimbangan sehingga menyebabkan seseorang menurut arahan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau memerlukan nasihat berkaitan kes penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP dan @JSJKPDRM.

Semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui juga boleh dibuat menerusi portal Semak Mule CCID PDRM di https://semakmule.rmp.gov.my/.

Oleh Tarani Lanting

Polis buru pemandu langgar lari

BAU: Polis sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan seorang pejalan kaki di KM8.5,