LUNDU: Operasi memadam kebakaran hutan di Hutan Simpan Samunsam memasuki hari keempat hari ini dengan separuh daripada kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, kebakaran melibatkan keluasan 0.2 hektar, dengan 0.1 hektar berjaya dipadamkan, manakala baki 0.1 hektar masih dalam operasi pemadaman.

Operasi hari ini dikendalikan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu yang menggunakan kaedah pemadaman secara manual menerusi alat pemukul api (fire beaters) dan penyembur sandang (knapsack sprayer).
Komander Operasi, Pegawai Penguasa Bomba Muhamad Hazijul Abdul Mujun berkata, operasi turut dibantu dua unit penyembur sandang masing-masing milik JBPM dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Beliau berkata, operasi ditangguhkan pada 4.30 petang dan akan disambung semula esok.
Menurutnya, operasi berdepan beberapa cabaran termasuk laluan sejauh kira-kira 1.2 kilometer dari jalan utama ke lokasi kebakaran, ketiadaan sumber air berhampiran serta keadaan bentuk muka bumi yang berbukit.
Operasi itu turut melibatkan sembilan anggota SFC dan seorang wakil IBET bagi membantu usaha mengawal kebakaran.




