Jalan Ulu Rimbas RM23.7 juta beri manfaat kepada 13 rumah panjang

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Ulu Rimbas dekat sini semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

DEBAK: Projek naik taraf Jalan Ulu Rimbas sepanjang 20.23 kilometer dengan kos RM23.7 juta bakal memberi nafas baharu kepada penduduk di 13 rumah panjang apabila siap dalam tempoh 18 bulan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata projek berkenaan dilaksanakan bagi menaik taraf jalan sedia ada yang telah lama digunakan dan memerlukan penambahbaikan.

Menurutnya, projek itu dibiayai kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar.

“Apabila jalan ini dinaik taraf, ia akan memudahkan penduduk menjalankan aktiviti ekonomi, khususnya membangunkan tanah mereka, selain memudahkan urusan ke hospital, sekolah dan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Ulu Rimbas di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Ulu Rimbas dekat sini semalam. Foto Douglas Uggah Embas Official

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan laluan pusingan P baharu di Simpang Rimbas bagi memendekkan perjalanan penduduk.

Katanya, laluan pusingan P sedia ada terletak kira-kira enam kilometer dari kawasan berkenaan, sekali gus menyukarkan penduduk untuk menggunakannya.

“Jadi kita memutuskan bahawa pusingan P baharu perlu dibina dan ia akan menjadi sebahagian daripada pakej projek ini,” katanya.

Beliau berkata, projek itu disasarkan siap dalam tempoh 18 bulan dan yakin kontraktor mampu menyiapkannya mengikut jadual berdasarkan keadaan cuaca yang baik serta kesiapsiagaan jentera di tapak.

“Saya sangat yakin kontraktor akan dapat melaksanakan projek ini mengikut jadual,” katanya.

Projek berkenaan dijangka memberi impak besar kepada penduduk setempat dengan meningkatkan keselesaan perjalanan, memperluas akses ke kemudahan asas serta memudahkan pergerakan hasil pertanian dan aktiviti ekonomi.

Pada masa sama, pelaksanaannya membuktian komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman turut menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

Oleh Adi Safarman