KUCHING: Sarawak mahu menguasai bidang metalurgi supaya sumber mineral negeri dapat diproses sendiri dan menghasilkan produk bernilai lebih tinggi untuk meningkatkan hasil serta manfaat ekonomi kepada Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kepakaran dalam bidang berkenaan penting bagi membolehkan negeri ini memproses sendiri sumber mineral termasuk unsur nadir bumi (REE).
“Sarawak mempunyai sumber REE namun memerlukan kepakaran untuk memprosesnya sebelum boleh menghasilkan bahan yang mempunyai nilai lebih tinggi.
“Kita mesti ada kepakaran sebab tenaga manusia kita mesti bersedia dan saintis sumber kita mesti ada. Kalau tidak, kita tidak dapat menambah nilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Perasmian AI untuk Pencipta: Pesta Pencipta Borneo 2026 di Perkampungan Digital Tegas, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, metalurgi ialah bidang berkaitan logam dan proses menghasilkan bahan daripada sumber mineral, termasuk untuk menghasilkan bahan berteknologi tinggi seperti magnet berkuasa tinggi dan galium nitrida.
“Galium nitrida juga merupakan sumber mineral yang memerlukan proses tertentu untuk menghasilkan bahan yang boleh dimanfaatkan dalam teknologi.
“Orang kita mesti belajar tentang proses ini. Sarawak perlu mempunyai lebih ramai saintis dan pakar tempatan supaya negeri ini mampu menguasai proses pemprosesan sumber mineral sendiri, berbanding bergantung kepada kepakaran luar,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha itu memerlukan pembangunan kepakaran menerusi pendidikan dan penyelidikan di peringkat tinggi, termasuk pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan.
“Dapat mereka mengembangkan ilmu ini, buat PhD dalam bidang ini kerana ia ada kaitan dengan sumber kita.
“Sebab itu juga kerajaan negeri buat penyediaan pendidikan percuma di Sarawak, itu sebahagian usaha membangunkan modal insan bagi melahirkan tenaga pakar yang diperlukan dalam bidang khusus.
“Langkah berkenaan penting supaya sumber yang dimiliki Sarawak dapat diproses dan diberi nilai tambah menerusi kepakaran sendiri negeri,” ujarnya.
Untuk rekod, Unsur nadir bumi (REE) merupakan sekumpulan 17 unsur logam yang digunakan dalam penghasilan pelbagai teknologi moden, termasuk magnet berkuasa tinggi, komponen elektronik dan peralatan tenaga boleh baharu.
Di Sarawak, usaha membangunkan industri REE turut diberi perhatian kerajaan negeri menerusi kajian potensi sumber serta perancangan pembangunan industri, selaras dengan usaha untuk menghasilkan produk bernilai tambah daripada sumber mineral negeri.
Oleh Masrin Affirah





