Selepas lebih 30 tahun, Sidi akhirnya miliki lesen motosikal

Facebook
WhatsApp
NELAYAN Kampung Semariang Batu, Sidi Kamis, 63, menerima lesen motosikal Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu yang diserahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pada majlis penyerahan di Kuching, hari ini. Foto JPJ Negeri Sarawak

KUCHING: Penantian nelayan dari Kampung Semariang Batu di sini, Sidi Kamis, 63, untuk memiliki lesen motosikal akhirnya berakhir selepas lebih 30 tahun apabila beliau memperoleh lesen Kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu.

Lebih bermakna, lesen itu diserahkan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, yang juga Ahli Parlimen Santubong, pada majlis penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu B2 Parlimen Santubong hari ini.

Sidi berkata sebelum ini, beliau menunggang motosikal tanpa lesen untuk pergi ke jeti atau masjid.

“Hasrat memiliki lesen sudah lama ada, namun kekangan kewangan menyebabkan tertangguh.

“Saya juga menyangka lesen tidak begitu penting kerana hanya bergerak dalam kawasan kampung. Kini, saya sedar tanggapan itu silap,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili.

Sidi berkata beliau mula menyedari kepentingan memiliki lesen selepas melihat iklan Program Bantuan Lesen Memandu di televisyen sebelum mengambil peluang menyertainya.

“Saya sangat bersyukur kerana akhirnya memiliki lesen dan kini lebih yakin menunggang motosikal di jalan raya, terutama dari aspek keselamatan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan program ini yang banyak membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau turut menggalakkan kalangan yang belum memiliki lesen motosikal supaya memanfaatkan program  tersebut sekiranya layak demi keselamatan dan pematuhan peraturan jalan raya.

Sementara itu, Norizan berkata sebanyak 32,455 peserta memperoleh lesen motosikal Kelas B2 menerusi program anjuran pihak Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga 22 Ogos 2026.

Beliau berkata kuota boleh dipohon untuk ditambah sekiranya permohonan melebihi jumlah yang ditetapkan, manakala program itu turut diperluas ke kawasan luar bandar selain bandar dan pesisir.- Bernama

Tiga program utama Sarawak ditangguhkan

KUCHING: Tiga program utama di Sarawak yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini hingga awal September ditangguhkan susulan keadaan jerebu dan