Petronas lancar kemudahan baja organik, penternakan lalat askar hitam di Dalat

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Dr. Sim Kui Hian bersama tetamu kehormat lain membuat tinjauan sekitar kemudahan Pemprosesan Baja Organik dan Ladang Pembiakan Lalat Askar Hitam (BSF) di Dalat. Foto UKAS

DALAT: Petronas dengan kerjasama kerajaan Sarawak melancarkan Projek Pemprosesan Baja Organik dan Ladang Pembiakan Lalat Askar Hitam (BSF) di Dalat, hari ini, sebagai usaha menyokong pembangunan luar bandar serta mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada masyarakat setempat.

Projek berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu, berkata kemajuan bermakna dapat dicapai menerusi kerjasama dan penciptaan nilai bersama antara pihak berkepentingan.

“Projek komuniti di Dalat ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong kesejahteraan masyarakat, di samping memajukan penyelesaian mampan bagi menangani cabaran tempatan.

“Penukaran sisa organik kepada sumber bernilai bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar, malah menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar dan pertumbuhan ekosistem ekonomi kitaran di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 PRODUK baja organik yang dihasilkan menerusi pemprosesan sisa organik menggunakan larva lalat askar hitam (BSF) di Dalat. Foto UKAS

Projek berasaskan komuniti itu menggunakan pendekatan inovatif dengan menukarkan sisa organik kepada sumber bernilai melalui penggunaan BSF yang berupaya memproses sisa organik menjadi biojisim.

Antara bahan yang diproses termasuk tumbuhan kiambang dari Sungai Batang Oya, sisa makanan dari sekolah dan restoran serta sisa pemprosesan sagu untuk menghasilkan baja organik dan makanan ternakan.

Usaha menyingkirkan tumbuhan kiambang invasif itu turut membantu memperbaiki keadaan Sungai Batang Oya, selain menggalakkan pemulihan sumber secara lebih cekap dan mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Projek itu turut memberi penekanan kepada penglibatan masyarakat dan pembangunan keupayaan bagi memastikan komuniti tempatan mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama Petronas dan kerajaan Sarawak dalam memperkasa komuniti, memperkukuh pemeliharaan alam sekitar serta menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 ke arah Sarawak yang makmur, inklusif dan mampan.

Tiga program utama Sarawak ditangguhkan

KUCHING: Tiga program utama di Sarawak yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini hingga awal September ditangguhkan susulan keadaan jerebu dan