Kebakaran Hutan Simpan Samunsam masuk hari ketiga, 1.9 hektar masih terbakar

Facebook
WhatsApp
OPERASI pemadaman kebakaran hutan di Hutan Simpan Samunsam, Lundu memasuki hari ketiga dengan anggota bomba menjalankan usaha memadam kebakaran di kawasan berbukit, hari ini.

LUNDU: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Hutan Simpan Samunsam, Lundu memasuki hari ketiga hari ini dengan sekitar 1.9 hektar daripada anggaran dua hektar kawasan terbakar masih belum berjaya dipadam.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), operasi pemadaman diteruskan selepas kebakaran dikesan melalui pemantauan dron milik Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu bergerak ke lokasi sekitar 8.20 pagi sebelum tiba pada 9.30 pagi.

Operasi pemadaman dimulakan sekitar 10.30 pagi dengan anggota menggunakan pemukul api (fire beaters) berikutan keadaan lokasi yang mencabar.

Dalam perkembangan terkini, helikopter Unit Udara Bomba telah tiba di lokasi kebakaran dan memulakan operasi pemadaman menggunakan kaedah water bombing bagi membantu memadam kebakaran dari udara.

USAHA… Operasi water bombing menggunakan helikopter Unit Udara Bomba dilaksanakan bagi membantu memadam kebakaran yang masih berlaku di Hutan Simpan Samunsam, Lundu, hari ini.

Setakat ini, sekitar 0.1 hektar kawasan berjaya dipadam, manakala baki 1.9 hektar masih dalam proses pemadaman.

Antara cabaran dihadapi pasukan ialah laluan dari jalan utama ke lokasi kebakaran sejauh kira-kira satu kilometer, selain tiada sumber air berhampiran kawasan terbabit.

Keadaan kawasan yang berbukit turut menyukarkan pergerakan anggota dan operasi pemadaman.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut tiba di lokasi sekitar 11.50 pagi sebelum sesi taklimat bersama Ketua BBP Lundu dijalankan.

Operasi membabitkan 11 anggota BBP Lundu di lapangan dengan sokongan sebuah Jentera Penyelamat Kebakaran Kompak (CFRT), sebuah helikopter Unit Udara Bomba dan sebuah kenderaan Hilux.

Turut membantu operasi, sembilan anggota SFC, tiga anggota JAS dan tiga anggota Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

Oleh Afiq Sallehi