SIBU: Sebanyak 48 cek berjumlah RM922,500 diserahkan menerusi sumbangan ikhlas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta rumah ibadat, hari ini.
Pegawai Tugas-Tugas Khas I kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Agatha Ting berkata, jumlah berkenaan merangkumi 46 cek berjumlah RM687,500 dan dua cek Unit Hal Ehwal Agama Bukan Islam (UNIFOR) berjumlah RM235,000.

“Saya mewakili Dato Sri Tiong King Sing untuk memberi penyerahan cek pada pagi hari ini. Dato Sri memohon maaf atas ketidakhadiran beliau disebabkan kekangan kerja yang tidak dapat dielakkan.
“Saya juga berbesar hati dan berterima kasih kerana diberi peluang untuk membuat penyerahan cek kepada PIBG, persatuan, JKKK dan rumah-rumah beribadat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan ikhlas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, di salah sebuah hotel terkemuka, di sini pagi ini.
Agatha berkata, pihak penerima diingatkan supaya menyediakan laporan penggunaan sumbangan dan mengemukakannya kepada pusat khidmat selepas menerima cek berkenaan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu melancarkan lagi program yang dirancang.
“Akhir kata, terima kasih saya ucapkan kepada semua penerima. Tetapi jangan lupa, selepas menerima cek, sila buat laporan dan hantar kepada pusat khidmat,” katanya.
Oleh Akun Giman



