SARIKEI: Lebih 39,000 lot tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak telah dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak sehingga 31 Julai 2026, mencerminkan usaha berterusan kerajaan memberi kepastian pemilikan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, sejak 2010 hingga 31 Julai lalu, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya melaksanakan pengukuran perimeter seluas kira-kira 1,240,159 hektar atau 3.06 juta ekar di seluruh Sarawak.
Katanya, daripada keluasan itu, sebanyak 967,842 hektar atau kira-kira 2.39 juta ekar telah diwartakan, manakala bagi pengukuran lot individu, sebanyak 111,885 lot melibatkan kawasan seluas 134,079 hektar atau 331,316 ekar berjaya diukur.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 39,670 lot telah dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, melibatkan kawasan seluas 54,960 hektar, atau 135,809 ekar.
“Angka-angka ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Sarawak bukan sekadar bercakap mengenai isu tanah NCR, tetapi terus mengambil tindakan dan melaksanakan kerja-kerja pengukuran serta pemilikan tanah secara berterusan demi kepentingan rakyat,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian sempena majlis penyerahan 137 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada 103 penerima daripada komuniti Melayu dan Iban di Ulu Sarikei (Sare – Sentebu) yang terletak dalam kawasan Kuala Rajang di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei pada semalam.
“Saya berharap penyerahan surat hak milik ini akan membawa satu sinar baharu kepada para penerima.
“Inilah hasil yang kita mahu, daripada tanah yang selama ini diwarisi dan diusahakan, akhirnya mempunyai dokumen hak milik yang memberikan kepastian dari segi sempadan dan pemilikan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengukuran tanah NCR tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya hanya dilaksanakan selepas permohonan diterima daripada penuntut tanah berkenaan.
“Setiap permohonan akan disemak berdasarkan peruntukan undang-undang serta bukti-bukti yang sahih sebelum diluluskan untuk kerja pengukuran.
“Sekiranya tanah tersebut masih melibatkan pertikaian atau kes yang sedang dibicarakan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan sehingga pertikaian tersebut diselesaikan. Setelah kes berkenaan ditarik balik atau diselesaikan, penuntut perlu mengemukakan permohonan semula untuk pengukuran,” katanya lagi.
Tambahnya, kerjasama penuntut merupakan antara faktor utama yang dapat mempercepatkan pelaksanaan program pengukuran, termasuk persetujuan untuk tanah diukur, membuat rentisan sempadan, memastikan tanah bebas daripada pertikaian dan kehadiran pemilik tanah bersempadan ketika pengukuran dijalankan.
“Sedia dan bersetuju untuk diukur. Tiada paksaan. Sesi dialog dan perbincangan akan diadakan terlebih dahulu. Jika pemilik tidak bersetuju, tanah tersebut tidak akan diukur.
“Saya ingin menggesa kepada semua penuntut tanah NCR: jangan tunggu terlalu lama. Berikan kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak supaya proses pengukuran dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan lancar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Len Talif turut menolak tanggapan bahawa pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak bertujuan mengambil atau merampas tanah rakyat.
“Tanggapan tersebut adalah tidak benar. Sebaliknya, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 merupakan satu langkah untuk mengenal pasti, merekod, melindungi dan mengurus kawasan tanah NCR yang telah diiktiraf secara lebih teratur,” katanya.
Jelasnya, apabila sesuatu kawasan selesai diukur dan diwartakan, persempadanan menjadi lebih jelas serta rekod tanah dapat diwujudkan secara lebih teratur sebelum proses diteruskan ke peringkat kedua menerusi pengukuran lot individu dan pengeluaran Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18.
“Oleh itu, kedua-dua peringkat ini sebenarnya saling melengkapi.
“Peringkat pertama memberikan kejelasan dari segi kawasan dan sempadan, manakala peringkat kedua memberikan hak milik secara individu,” tambahnya.
Len Talif berkata, Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 turut mempunyai beberapa keistimewaan kerana tidak dikenakan cukai tanah, dikecualikan daripada bayaran premium dan mempunyai tempoh pegangan kekal.
“Inilah antara bentuk komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat terus dipelihara.
“Bagi para penerima pada hari ini, saya ingin mengucapkan tahniah. Surat hak milik yang diterima bukan sekadar sehelai dokumen.
“Ia adalah bukti pemilikan, satu bentuk kepastian, dan yang lebih penting, satu amanah untuk diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.
Oleh Earl Anek




