Perpaduan PBB tidak boleh diganggu gugat – Dr Annuar

Facebook
WhatsApp
DR ANNUAR......Memotong pulut pada Majlis Makan Malam Perggerakan Wanita PBB Zon Tengah di Dewan LAKIS Sibu, malam tadi. Turut kelihatan ialah Angelina, Sharifah serta yang lain.

SIBU: Perpaduan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merupakan perkara yang tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar parti.

Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, kekuatan PBB terletak pada perpaduan ahlinya yang terbina daripada gabungan tiga parti asas yang kemudiannya bercantum menjadi sebuah parti besar.

Menurutnya, perpaduan berkenaan juga menjadi antara keistimewaan PBB sebagai tulang belakang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Perpaduan dalam PBB tidak boleh diganggu-ganggu oleh mana-mana pihak, baik dari luar mahupun dari dalam.

“Kalau MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) adalah perkara yang tidak boleh dirundingkan, perpaduan dalam PBB juga begitu. Ia tidak boleh dijual beli dan mesti kita jaga bersama,” ujarnya.

DR ANNUAR……Merakam kenangan pada Majlis Makan Malam Perggerakan Wanita PBB Zon Tengah di Dewan LAKIS Sibu, malam tadi. Turut kelihatan ialah Angelina, Sharifah serta yang lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perggerakan Wanita PBB Zon Tengah di Dewan LAKIS Sibu, malam tadi.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat turut merakamkan penghargaan kepada pergerakan Wanita PBB yang disifatkannya sebagai antara tonggak penting dalam menggerakkan parti, khususnya ketika menghadapi pilihan raya.

Katanya, wanita PBB sentiasa menunjukkan komitmen dan pengorbanan yang tinggi, termasuk turun padang mendekati masyarakat dari rumah ke rumah.

“Saya masih ingat ketika pertama kali menjadi calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka. Saya dibawa oleh wanita untuk turun dari rumah ke rumah di seluruh kawasan Nangka dalam tempoh 14 hari.

“Itulah pengorbanan yang ditunjukkan oleh wanita, bukan sahaja di Sibu tetapi di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berharap tradisi kerjasama dan pengorbanan berkenaan terus diperkukuhkan oleh pergerakan Wanita PBB di semua peringkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut menekankan kepentingan program kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh pergerakan wanita, termasuk ziarah dan membantu golongan yang memerlukan.

Menurutnya, program sedemikian perlu diteruskan walaupun pilihan raya semakin hampir kerana ia memberi impak besar dalam mendekatkan parti dengan masyarakat.

“Walaupun program itu nampak kecil dan tidak besar-besaran, kesannya kepada masyarakat amat besar kerana ia menunjukkan kehadiran dan keprihatinan pergerakan Wanita PBB terhadap masyarakat sekeliling.

“Saya berharap program seperti ini diteruskan, sekurang-kurangnya sebulan sekali, tanpa mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak,” ujarnya lagi.

Annuar berkata, program yang menghimpunkan wanita PBB juga penting sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

“Mesej yang disampaikan oleh tiga penceramah dalam program berkenaan perlu difahami dan dibawa oleh anggota wanita untuk disampaikan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

“Antara mesej paling penting ialah perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan negeri Sarawak. Ketiga-tiga perkara ini saling berkait dan perlu diberi perhatian,” katanya.

Dr Annuar turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan serta seluruh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Wanita PBB atas sokongan yang diberikan kepadanya, termasuk dalam pemilihan parti dan penganjuran Konvensyen PBB Wanita yang berlangsung di Sibu baru-baru ini.

Beliau berkata, sokongan daripada pergerakan wanita bukan sahaja diterima di Sibu dan Zon Tengah, malah dari seluruh Sarawak.

“Saya amat bersyukur dan dengan rendah diri mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada saya.

“Dengan kepercayaan yang diberikan sebagai Naib Yang Dipertua Kanan parti, saya akan sedaya upaya bersama pucuk pimpinan memastikan PBB terus kukuh dan seterusnya mencapai hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju menjelang 2030,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Wanita I PBB, Datin Sri Dato Angelina Ujang, Timbalan Ketua II Wanita Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta yang lain.

Oleh Akun Giman