LUBOK ANTU, 22 Oktober: Tiga lelaki berusia antara 34 hingga 47 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Sarikei berhampiran Engkilili, semalam.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin berkata, ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif methamphetamine dan amphetamine.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Inspektor Harper Kenol itu melibatkan 18 anggota polis daripada pelbagai cawangan dan pangkat, dengan kerjasama empat anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sri Aman.
Menurutnya, operasi berkenaan bertujuan mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah serta membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain mempertingkat penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 155 kenderaan dan 170 individu diperiksa menerusi sekatan jalan raya yang didirikan oleh IPD Lubok Antu.
“Pemeriksaan itu turut menyaksikan sebanyak 12 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
DSP Pricha menegaskan bahawa Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Lubok Antu sentiasa terpelihara daripada sebarang ancaman jenayah.
Beliau turut menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan berterusan dalam membendung kegiatan penyalahgunaan dadah serta meningkatkan kesedaran Masyarakat terhadap kepentingan mematuhi undang-undang.
Oleh Adi Safarman





