KUCHING, 21 Oktober: Tiga pegawai polis bantuan akan ditempatkan di kawasan Sekolah Tunku Putra-HELP (TPH) berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah memperketat keselamatan susulan insiden seorang guru dipercayai dicederakan oleh seorang pelajar pagi tadi.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak sekolah memaklumkan bahawa langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kawalan keselamatan, selain pemeriksaan keselamatan sewajarnya terhadap individu yang memasuki kampus.
“Berkuat kuasa serta-merta, tiga pegawai polis bantuan akan ditempatkan di kawasan sekolah dan pemeriksaan keselamatan sewajarnya akan dijalankan ketika memasuki kampus,” menurut kenyataan itu.
Menurut pihak sekolah, prosedur keselamatan sedia ada turut dikaji semula, manakala langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh sedang diteliti dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
Dalam insiden pagi semalam, seorang guru dilaporkan cedera selepas didakwa diserang seorang pelajar dan telah dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
Pihak sekolah memaklumkan guru berkenaan kini semakin pulih dan tidak mengalami kecederaan kritikal.
Pelajar yang didakwa terlibat kini berada dalam tahanan polis dan tidak lagi berstatus pelajar aktif di TPH, manakala kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Susulan kejadian itu, pihak sekolah mengaktifkan prosedur tindak balas kecemasan dengan segera, manakala pelajar lain di dalam kelas terjejas berjaya dipindahkan keluar dari kawasan berkenaan. Tiada kecederaan lain dilaporkan.
Sesi persekolahan turut ditamatkan lebih awal atas nasihat polis sebagai langkah berjaga-jaga, dengan ibu bapa dimaklumkan supaya mengambil anak masing-masing.
TPH mengesahkan sekolah kembali beroperasi hari ini selepas mendapat kebenaran daripada semua pihak berkuasa berkaitan.
Selain memperketat kawalan keselamatan, pasukan kepimpinan sekolah akan mengadakan perhimpunan bagi memberikan penjelasan kepada pelajar, menangani kebimbangan mereka serta menyediakan sokongan kaunseling kepada mereka yang memerlukannya.
Pihak sekolah turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan, selain menghormati privasi semua pihak yang terlibat.
Oleh Shahrul Qaizat



