JPJ Sarawak cadang pusat ujian berkomputer di Sri Aman

Facebook
WhatsApp
LAWATAN dan pemantauan Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Sarawak ke Institut Memandu Sri Aman Sdn. Bhd. Foto JPJ Sarawak

SIMANGGANG, 22 Oktober: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mencadangkan pembukaan Pusat Ujian Berkomputer di Institut Memandu Sri Aman Sdn. Bhd. bagi memastikan kemudahan ujian teori terus disediakan kepada calon memandu di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan media JPJ Sarawak, cadangan itu dibincangkan menerusi lawatan dan pemantauan Bahagian Pelesenan Pemandu ke institut berkenaan bagi meninjau pengoperasian serta mengenal pasti ruang penambahbaikan kemudahan dan sistem pengujian calon memandu.

Cadangan tersebut susulan penutupan Pusat Ujian Berkomputer KOMMS (Rileks) di Sri Aman, sekali gus mendorong perbincangan mengenai keperluan menyediakan kemudahan alternatif bagi memenuhi keperluan calon institut memandu.

Dalam sesi perbincangan itu, Institut Memandu Sri Aman Sdn. Bhd. turut dinasihatkan mempertimbangkan pembukaan pusat ujian berkomputer bagi Kursus Pendidikan Pemandu (KPP01), selain melaksanakan sistem e-Testing untuk ujian litar di institut berkenaan.

Penggunaan sistem berkenaan diharap dapat menyokong pelaksanaan ujian yang lebih sistematik, cekap dan teratur, di samping meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada calon memandu.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada JPJ Sarawak menilai sendiri operasi institut serta mengenal pasti aspek yang boleh ditambah baik bagi memastikan kemudahan latihan dan pengujian memenuhi keperluan yang ditetapkan.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Sarawak, Yusniman Mohamad dan Ketua Seksyen Pengurusan Institut Memandu, Mohd Khairul Anuar Pangah.

JPJ Sarawak menegaskan komitmennya untuk meneruskan pemantauan serta memperkukuh kerjasama dengan institut-institut memandu bagi memastikan pengurusan latihan dan ujian memandu dilaksanakan mengikut ketetapan.

Usaha itu penting dalam menyokong pembangunan pemandu yang kompeten, berhemah dan bertanggungjawab demi meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Oleh Adi Safarman