Batalion 23 PGA Sri Aman tingkat kesiapsiagaan hadapi PRN Sarawak

Facebook
WhatsApp
TAKLIMAT Persiapan Pilihan Raya DUN Sarawak Siri 2/2026 yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Batalion 23 PGA, di sini, semalam. Foto Batalion 23 PGA Sri Aman

SIMANGGANG: Batalion 23 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman memperkukuh tahap kesiapsiagaan anggotanya menerusi Taklimat Persiapan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Siri 2/2026 yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Batalion 23 PGA, di sini, semalam.

Menurut kenyataan media Batalion 23 PGA Sri Aman, taklimat berkenaan melibatkan pegawai dan anggota yang bakal ditugaskan dalam aspek keselamatan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Sesi taklimat disampaikan oleh DSP Jawai Francis Kempas, PT D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Dalam taklimat tersebut, beliau memberi penekanan terhadap aspek kesiapsiagaan anggota, tatacara penugasan, pengurusan risiko serta pemantapan koordinasi antara pasukan.

Langkah berkenaan penting bagi memastikan setiap anggota memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, selain mampu melaksanakan tugasan keselamatan dengan cekap sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Menurut kenyataan itu, program tersebut turut bertujuan meningkatkan kompetensi, kefahaman terhadap tugasan serta tahap profesionalisme pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam penugasan PRN.

Batalion 23 PGA Sri Aman menegaskan komitmennya untuk memberikan sokongan penuh dalam aspek pengurusan keselamatan negara, khususnya bagi memastikan proses demokrasi dapat berlangsung dalam keadaan lancar, aman dan teratur.

Taklimat itu juga menjadi platform penting bagi memperkemas persediaan pasukan keselamatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan serta memastikan penugasan anggota dapat dilaksanakan pada tahap kesiapsiagaan yang optimum.

Oleh Adi Safarman