DARO: Sebuah van milik Bahagian Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro musnah 100 peratus dalam kebakaran di ruang parkir Unit Kejuruteraan IPD Matu Daro, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos ketika dihubungi Utusan Sarawak mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kebakaran hanya melibatkan sebuah van.
Menurutnya, semua pegawai dan anggota yang berada di lokasi ketika kejadian berada dalam keadaan selamat, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, kejadian berlaku sekitar 4.15 petang sebelum dua anggota polis yang menyedari kebakaran cuba memadamkan api menggunakan tiga unit alat pemadam api jenis debu kering.
“Bagaimanapun, usaha berkenaan gagal mengawal kebakaran daripada terus merebak,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Matu Daro tiba di lokasi sekitar dua minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati sebuah van sedang marak terbakar di dalam ruang parkir Unit Kejuruteraan IPD Matu Daro.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula, air tangki jentera serta pam GP10/10 dengan sumber air dari parit di hadapan IPD,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal lapan minit selepas pancutan pertama sebelum anggota menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran semula.
“Pemeriksaan mendapati kemusnahan van terbabit adalah 100 peratus, manakala bahagian siling ruang parkir turut terjejas akibat bahangan kebakaran.
“Selain itu, satu kabel elektrik dari tiang utama ke bangunan Unit Kejuruteraan turut terputus,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.00 petang.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy Berhad dan kontraktor Sarawak Energy dengan keseluruhan tujuh anggota bomba terlibat.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.





