DEBAK: Kebakaran melibatkan kawasan belukar di lereng bukit berhampiran jalan utama menuju Rumah Panjang Penunus berjaya dipadam sepenuhnya oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 5.50 petang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, empat anggota APM bersama sebuah ambulans pacuan empat roda dikerahkan ke lokasi yang terletak sekitar 10 kilometer dari pangkalan.

“Pasukan bertolak pada 5.53 petang dan tiba di lokasi lapan minit kemudian, iaitu pada 6.08 petang.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati kebakaran berlaku di kawasan belukar di lereng bukit berhampiran jalan utama menuju Rumah Panjang Penunus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran yang dilaporkan marak itu kemudian dipadam dengan bantuan empat anggota BBP Betong.
Operasi turut mendapat kerjasama empat kakitangan SESCO yang berada di lokasi bagi membantu memastikan keadaan sekitar berada dalam keadaan selamat.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya dan keadaan di lokasi kemudian dipastikan selamat,” katanya.
Operasi yang bermula selepas menerima panggilan pada 5.50 petang itu berakhir pada 8.57 malam.
Mohd Hanif berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka terutama ketika keadaan cuaca panas dan kering kerana api mudah merebak ke kawasan belukar serta berisiko mengancam keselamatan penduduk dan harta benda.
Oleh Adi Safarman





