LUNDU: Keprihatinan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terserlah apabila baginda berkenan berhenti membantu mangsa kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Kampung Stungkor, Jalan Bau-Lundu, petang tadi.
Kejadian kira-kira 3.30 petang itu berlaku ketika baginda dalam perjalanan dari Lundu ke Kuching selepas berkenan merasmikan Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, hari ini.

Setibanya di lokasi, baginda mendapati kemalangan membabitkan sepasang suami isteri yang menaiki sebuah motosikal dengan sebuah kereta dipandu seorang wanita tempatan.
Prihatin dengan keadaan mangsa, baginda segera menitahkan ambulans yang turut bersama konvoi supaya memberikan bantuan sebelum membawa kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan ke Hospital Lundu untuk mendapatkan rawatan.
Dalam keadaan cuaca panas terik, baginda turut berkenan turun daripada kenderaan bagi melihat sendiri keadaan mangsa serta bertanyakan situasi mereka.

Baginda turut membantu menenangkan mangsa sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuching.
Tindakan spontan itu memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat, meskipun kejadian berlaku ketika baginda dalam perjalanan pulang selepas menyempurnakan program rasmi di Telok Melano.
Oleh Afiq Sallehi




