KUCHING: Sebuah kilang di Jalan Semaba, Batu 5, di sini terbakar petang ini, dengan api turut merebak ke sebuah rumah yang terletak di tepi jalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 5.22 petang.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang struktur separa kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 50 meter panjang dan 40 meter lebar.
“Kebakaran turut merebak ke sebuah rumah yang berada di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba kini sedang menjalankan kerja-kerja pemadaman bagi mengawal kebakaran.
Operasi diketuai PBKI Ramzai Talip dengan bantuan anggota dari BBP Batu Lintang dan BBP Tabuan Jaya.
Setakat ini, tiada maklumat mengenai mangsa dilaporkan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan.
Maklumat lanjut mengenai kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.





