Jari membengkak, cincin berjaya dipotong bomba di Balai Polis Betong

Facebook
WhatsApp
CINCIN yang berjaya dipotong oleh anggota bomba semalam. Foto BBP Betong

BETONG: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bertindak pantas membantu seorang mangsa yang berdepan kesukaran apabila cincin yang dipakainya melekat pada jari sehingga menyebabkan bahagian berkenaan membengkak, di sini semalam.

Menurut kenyataan BBP Betong, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian khidmat khas memotong cincin pada 8.56 pagi di Balai Polis Betong, yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai bomba.

Seramai lima anggota dikerahkan ke lokasi menggunakan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) bagi menjalankan operasi tersebut.

Setibanya di Balai Polis Betong, pegawai bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa dengan cincin yang melekat pada jarinya. Pemeriksaan mendapati jari mangsa kelihatan bengkak akibat cincin berkenaan.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian mengambil tindakan segera dengan menggunakan peralatan khas bagi memotong cincin tersebut secara berhati-hati.

Operasi pemotongan dilakukan sehingga cincin berjaya diputuskan dan dikeluarkan sepenuhnya daripada jari mangsa tanpa menimbulkan keadaan yang lebih buruk.

Operasi berkenaan diketuai oleh PBK II Prangka Kudang selaku komander operasi, manakala pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam pengurusan kejadian.

Kes khidmat khas itu menunjukkan peranan pasukan bomba bukan sahaja tertumpu kepada operasi kebakaran dan menyelamat, malah turut membantu orang awam dalam situasi kecemasan seperti cincin yang tersekat dan menyebabkan kecederaan atau ketidakselesaan pada jari.

Oleh Adi Safarman